utama

'Sini kami punya'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Apa sudah jadi apabila koloni beratus warga asing mula menguasai kawasan sekitar Jalan Abaraham, dekat Imbi, di sini.

Hampir kebanyakan kediaman teres di lokasi itu dihuni pendatang asing warga China, Bangladesh, India, Nepal dan Filipina yang bekerja sebagai buruh binaan di sekitar ibu kota.
Susulan kewujudan ramai warga asing itu, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyerbu lokasi itu bermula jam 12 tengah malam semalam.

Tindakan turut dilakukan susulan kejadian anggota polis terpaksa melepaskan empat das tembakan amaran selepas dikepung warga asing di kawasan sama Jumaat lalu.

Ketua Unit Risikan dan Operasi Jabatan Imigresen, Mohd Shahrulnizam Ismail berkata, seramai 157 warga asing diperiksa dalam operasi yang turut mendapat kerjasama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis.

“Kami memeriksa 131 warga China, sembilan warga Bangladesh, 12 warga India, tujuh warga Nepal dan dua warga Filipina.

“Bagaimanapun semua warga China terbabit didapati mempunyai permit kerja dan pasport sah,” katanya.

Menurutnya, seramai 28 warga asing yang ditahan adalah sembilan lelaki Bangladesh, 12 lelaki India dan tujuh lelaki warga Nepal.

Harian Metro kelmarin melaporkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi mengawal keadaan selepas sekumpulan pekerja asing menyerang polis yang membuat pemeriksaan terhadap kegiatan perjudian di sebuah premis di situ.

Malah wartawan yang membuat tinjauan mendapati warga China yang dipercayai bekerja di beberapa tapak projek pembinaan di bandar raya ini turut membawa budaya masing-masing dengan bermain judi, berpeleseran di kaki lima hingga mengganggu orang ramai dan merosakkan harta benda awam selain tidak menjaga kebersihan serta sering mabuk.

Mohd Shahrulnizam berkata, warga asing yang ditahan dibawa ke depoh tahanan untuk siasatan kerana didapati tidak mempunyai dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 6:44am
d