utama

Sempat daftarkan nama anak

Oleh Omar Osman

SEORANG ibu tunggal berusia 48 tahun maut selepas terjatuh dari motosikal yang ditungganginya di Jalan Pinang Tunggal, berhampiran Taman Seraya, Sungai Petani, 11.30 pagi hari ini.

Ketika kejadian mangsa, Marizun Ismail menunggang motosikal Yamaha Lagenda keluar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal (SMKPT) selepas mendaftar nama anaknya untuk persekolahan 2018.

Mangsa dikatakan hendak menuju ke gerainya di Taman Kempas, Sungai Petani, namun sebaik menunggang motosikalnya tidak sampai 100 meter dari pintu pagar sekolah, ibu tunggal itu tiba-tiba terjatuh dan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh.

Penunggang motosikal yang berada di belakang pula sempat mengelak daripada melanggar mangsa yang terbaring di atas jalan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 6:04pm
d