utama

Solat terakhir bersama ibu

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

“SEBAIK selesai solat Asar, arwah berdua minta izin untuk ke kolam menangkap (menangguk) ikan. Ketika itu saya sedang berehat di beranda.

"Arwah beritahu, pagi tadi ibunya sudah menangkap ikan dan giliran mereka pula berbuat demikian," kata Md Nasir Jamaluddin,55, bapa kepada Ainnur Batrisyah, 10, dan Mohamad Solehuddin, 6, yang ditemui lemas di kolam tadahan air Kampung Padang Lalang, Jempol, hari ini.

Kejadian berlaku di kolam yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah mereka.

Md Nasir berkata, dua anaknya itu kerap ke kolam berkenaan untuk menangkap ikan namun sebelum hujan lebat, air berada paras lutut.

Katanya, sebelum itu arwah anaknya solat bersama isteri, Suhaini Nasuha, 37, namun tidak menghabiskan doa yang dibaca ibunya sebelum bergegas ke kolam berkenaan.

"Disebabkan kolam tidak jauh dari rumah,saya dan isteri hanya memerhati mereka dari rumah.

"Sejam selepas itu, isteri menyuruh saya pergi ke kolam namun mendapati anak tiada di situ sebaliknya hanya selipar mereka yang kelihatan.

"Saya terus terjun kedalam kolam dan tiba- tiba kaki tersentuh sesuatu. Saya cuba menyelam namun disebabkan hampir lepas saya naik ke tebing.

"Saya menjerit memanggil isteri dan menyuruhnya memanggil bomba," katanya ditemui di unit forensik Hospital Jempol.

Md Nasir berkata, Ainnur Batrisyah anak kedua manakala Mohamad Solehuddin anak bongsu daripada tiga beradik. Seorang abang, Mohamad Nazseefudin, 13, belajar di Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau.

Md Nasir berkata, dia akan merindui dua anaknya itu terutama apabila malam disebabkan mereka akan tidur bersama.

"Arwah tidak banyak kerenah dan memahami situasi keluarga yang serba kekurangan disebabkan saya tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Berita berkaitan:

Berakhir pilu...

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 11:41am
d