utama

'Jangan buat!' [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“JANGAN buat! Jangan buat!" Demikian rayuan Kha Xing Rhuu, 15, terhadap suspek bunuh ibu bapa dan adiknya di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Xing Rhuu cedera di kepala dan lebam di bahu kanan akibat dihentak dengan tukul besi dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Mereka yang maut adalah ayahnya, Kha Eng Ni, 42; ibunya Chua Joo Seok, 37, dan adik lelakinya, Kha Zee Hanz, 13.

Xing Rhuu berkata, ketika kejadian dia baru pulang dari sekolah bersama adiknya, Zee Hanz.

Katanya, secara tiba-tiba pekerja bapanya dikenali Sharat

keluar dari rumah dan mengarahkan adiknya mengambil fail di van.

"Sebaik masuk ke dalam rumah, saya terkejut melihat ayah terbaring depan pintu rumah dalam keadaan berlumuran darah.

"Saya terus hubungi kawan dan ternampak adik sedang bergelut dengan Sharat sebelum dia menghentak belakang kepala adik dengan tukul besi.

"Selepas itu, dia terus menyerang saya, dan saya sempat merayu beberapa kali supaya tidak cederakan namun dia tetap menghentak tukul besi itu di kepala sebelum melarikan diri.

"Hanya selepas kejadian saya sedar adik perempuan Kha Xiang Shyen, 8, terselamat kerana bersembunyi di bawah kerusi di dalam rumah" katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, selepas itu, jiran yang tinggal di kawasan berhampiran membantu membawanya ke hospital.

Katanya, akibat kejadian itu, dia menerima dua jahitan di kepala dan lebam di bahu kanan.

"Hari ini, saya dibenarkan pulang untuk menghadiri upacara pengebumian ibu, bapa dan adik di Kampung Balai, Bachok.

"Saya perlu kembali ke hospital untuk rawatan susulan," katanya.

Ditanya mengenai Sharat, dia berkata, hubungan lelaki itu dengan keluarga sangat rapat seperti adik-beradik.

"Dia sudah bekerja dengan bapa selama lebih tiga tahun dan saya tidak sangka kejadian ini berlaku kerana tiada perbalahan berlaku sebelum ini.

"Saya sendiri tidak pasti motif kejadian dan berharap polis dapat jalankan siasatan lanjut," katanya.

Kejadian itu turut disedari penduduk yang melalui kawasan terbabit dan melihat suspek melarikan diri bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.

Polis sudah mengenal pasti suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh ini dan pasukan khas ditubuhkan bagi menjejak lelaki berusia 31 tahun itu.

Berita berkaitan:

Pasukan khas jejak suspek bunuh

Suspek bunuh tiga beranak diburu

Tiga beranak dibunuh

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 3:42pm
d