utama

Steady, Huzaifi! [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

“KALAU saya yang dulu mungkin sudah pengsan di atas pentas, tetapi Alhamdulillah, sekarang saya mampu kawal perasaan gemuruh dan memaksa diri untuk senyum. Memang satu kenangan yang saya akan ingat sampai mati."

Demikian kata graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Sharifuddin Huzaifi Ahmad Sukarno, 25, selepas berlaku perkara tidak di duga semasa dia mengambil skrol di atas pentas pada Ahad lalu.

‘Mortar board’ yang dipakainya jatuh dua kali di hadapan tetamu kehormat dan ketika ingin berjalan meninggalkan pentas, sebelah kasutnya pula tertanggal sehingga video berkenaan tular di media sosial.

"Saya sudah berpeluh sejak dari luar dewan kerana memakai kot pada bahagian dalam jubah konvokesyen dan rambut pula berminyak serta pendek. Ketika duduk menunggu giliran pun 'mortar board' nak terjatuh.

"Pada saat itu, saya memang gelabah sangat. Nak pitam rasanya, tetapi saya cuba kawal dan tak mahu tunjuk yang saya takut. Terpaksa terima sajalah apa yang sudah berlaku," katanya yang lebih mesra dipanggil Huzaifi.

Pada hari berkenaan, dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sosiologi dan Antropologi) pada Majlis Konvokesyen UIAM ke-33 selepas menimba ilmu di universiti itu selama lima tahun.

Huzaifi yang berasal dari Kuching, Sarawak turut mengakui menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau biasa disebut hiperaktif dan darah gemuruh sejak kecil, tetapi semakin pulih pada tahun ketiga pengajian.

"Saya paling tak suka kalau ada pembentangan kerana saya sangat takut berhadapan dengan orang. Jadi saya tulis dan baca saja semuanya dan tidak mahu tengok muka orang lain.

"Lama-kelamaan saya cakap pada diri sendiri, kenapa saya tak boleh jadi macam orang lain? Orang tak akan tahu pun kalau saya sedang gemuruh. Kawan-kawan semua pandai dan saya mahu jadi macam mereka," katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu juga kemudiannya menyertai kumpulan nasyid dan qasidah di UIAM sehingga mampu mengatasi perasaan gemuruh yang menghantui hidupnya sekian lama.

"Bila perkara seperti di atas pentas itu terjadi, memang ramai yang kongsi dengan saya di Facebook dan saya ada juga terbaca komen-komen yang orang tulis pada video berkenaan.

"Bagi yang suka, saya seronok kerana mampu menggembirakan orang lain, tetapi kepada yang mengutuk, terima kasih kerana beri saya pahala percuma," katanya yang sedang mencari pekerjaan tetap.

Huzaifi kini bekerja sambilan di kampung halamannya dan sedia memperbaiki segala kelemahan di samping menambah ilmu yang diperlukan dalam mempersiapkan diri memasuki alam pekerjaan.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:17pm
d