utama

Angan-angan Haida jadi nyata

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Jika disebut nama Haida Hafiz mungkin ramai tertanya-tanya siapakah gerangan penyanyi wanita ini.

Namun, apabila diberitahu Haida Zapin Usik Mengusik dengan pantas boleh menjawab dan mengenali Haida yang pada awalnya popular sekitar 1998 apabila berduet dengan kumpulan Senario.

Entah di mana silapnya Haida atau nama sebenarnya Noor Haida Mohd Idris, 36, seakan-akan hilang dari radar dunia nyanyian selepas tiga tahun mencipta nama.

Sama ada tuah tidak berpihak kepadanya atau kurang publisiti, sehingga sekarang Haida tidak ada jawapan.

Namun, sepanjang 16 tahun Haida yang disangka menyepi sebenarnya masih aktif menyanyi dengan memenuhi undangan syarikat korporat. Kini kemunculan Haida pada program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) membuka mata banyak pihak.

Malah, pembabitan Haida dalam program itu bersama barisan penyanyi senior lain meletakkan dirinya sebagai peserta ‘underdog’.

Namun, persembahan pada minggu kedua dan ketiga membuktikan kemampuan sebenar Haida apabila mempamerkan kualiti nyanyian membanggakan. Pendek kata, Haida mula menunjukkan taringnya.

“Saya okey dan tidak ada masalah pun dipanggil peserta ‘underdog’. Malah saya berbesar hati apabila ada segelintir pihak beranggapan sedemikian. Ia secara tidak langsung menunjukkan mereka mengikuti persembahan saya.

“Saya ‘sporting’ menyertai pertandingan ini. Apa pun persepsi orang, saya tidak kisah. Terserah kepada mereka nak kata apa.

“Malah setiap tugasan saya anggap cabaran baru. Suka atau tidak, saya kena terima dan buat yang terbaik. Pertandingan ini memberikan tekanan apatah lagi lagu yang dinyanyikan bukan genre yang biasa peserta bawa,” katanya.

Menurut Haida, gelaran ‘underdog’ itu membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk terus bersaing.

“Saya menyanyi bukan untuk suka-suka. Saya masuk dalam industri ketika berusia 17 tahun. Biarpun nama saya tidak sehebat penyanyi lain, tiada istilah bersara kerana ini minat saya.

“Disebabkan itu, peluang menyertai program ini satu kesempatan terbaik saya dan tidak mahu persiakannya. Kalau nak tahu, saya pernah berangan-angan menyanyi di pentas berprestij seperti ini.

“Sepanjang 20 tahun dalam industri, sekali pun saya tidak pernah diberi peluang sebegini. Jadi, pembabitan dalam GV4 saya manfaatkan sebaik-baiknya. Ini bukan masa untuk main-main atau bereksperimen,” katanya.

Berhabis dalam persembahan

Menariknya mengenai Haida, dia antara peserta yang dilihat bersungguh-sungguh dalam setiap tugasan. Dalam erti kata lain, dia sanggup berhabis bagi memastikan persembahan itu tampak gah.

“Apa yang peminat saksikan dalam pertandingan ini adalah diri sebenar saya. Saya sukakan kecantikan dan menjaga penampilan setiap kali berada di pentas. Saya berpendapat, penyanyi yang bagus bukan saja memiliki vokal baik tetapi juga berpenampilan menarik.

“Disebabkan orang tidak pernah melihat persembahan saya dalam mana-mana acara, jadi tidak mustahil timbul persepsi sedemikian. Cuma, kalau nak kata saya berhabis tidak juga. Saya terharu apabila dikelilingi ramai orang yang sudi membantu.

“Sepanjang pertandingan ini, saya mempunyai pasukan sendiri yang menjaga penampilan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Setiap kali dapat tugasan baru, mereka yang teruja memikirkan gaya dan penampilan saya. Dalam erti kata lain, mereka suka berkarya. Saya pula jenis okey saja,” katanya.

Bercerita mengenai sisi peribadinya, Haida enggan mengulas lebih lanjut kerana ingin memberikan sepenuh perhatian terhadap GV4.

“Soal peribadi kita tutup dulu. Insya-Allah, selepas selesai program ini baru saya sedia untuk berkongsi. Kalau boleh sepanjang pertandingan ini saya nak orang bercerita mengenai perkara ini sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 2:23am
d