utama

Lupa, bukan hilang

Oleh Agensi

Frankfurt: Misteri sebuah kereta yang dilaporkan ‘hilang’ akhirnya berjaya dirungkai apabila kenderaan itu ditemui semula 20 tahun selepas pemiliknya membuat laporan polis.

Namun, kereta terbabit bukanlah benar-benar hilang seperti yang didakwanya, sebaliknya pemilik lelaki yang kini berusia 76 tahun itu sebenarnya terlupa di mana dia meletakkan kenderaannya.

Pemilik kereta itu membuat laporan mengenai kehilangan kenderaannya pada 1997 selepas menganggap kemungkinan ia dicuri apabila usaha mengesannya selama beberapa jam gagal.

Bagaimanapun, baru-baru ini, pihak berkuasa tempatan yang dalam proses untuk merobohkan sebuah bangunan industri lama di bandar itu, secara kebetulan menemui kereta berkenaan di garaj bangunan itu.

Mereka kemudian melaporkannya kepada polis bagi mengesan siapa pemilik kereta sebelum mereka bertindak melupuskannya.

Polis membuat carian sebelum menemui satu kes laporan kehilangan kereta yang dibuat 20 tahun lalu menerusi sistem mereka.

Portal berita tempatan Jerman, Augsberger Allgemein melaporkan lelaki terbabit berjaya dihubungi polis sebelum dia datang bersama anak perempuannya untuk melihat sendiri kereta yang ditinggalkan selama dua dekad itu.

Malangnya, pertemuan semula itu hanya seketika memandangkan kereta terbabit kini menjadi besi buruk yang menunggu masa untuk dilupuskan.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:27am
d