utama

Terganggu setiap malam

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Setiap malam jam 1 hingga 3 pagi anak saya akan mengigau dan seolah-olah mahu lari daripada katilnya akibat masih trauma. Dia kini dalam rawatan dengan pakar psikiatri akibat trauma keterlaluan kerana tragedi kebakaran itu,” kata Datin Nor Faizah Arifshah, 43, ibu kepada Muhammad Shahir Sharifuddin, 11, yang cedera dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Muhammad Shahir antara enam pelajar yang terselamat dalam tragedi itu manakala 22 rakannya dan seorang guru terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Nor Faizah berkata, anaknya yang melecur 20 peratus di bahagian belakang dan tulang rusuk patah masih menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bagaimanapun, akhir-akhir ini anak saya kerap mengigau dan menangis setiap kali tidur malam menyebabkan kami terpaksa menghantarnya mendapatkan rawatan dengan pakar psikiatri.

“Doktor mengesahkan anak mengalami trauma terlalu dalam akibat tragedi itu. Setiap malam dia mengigau seperti mahu lari daripada katil menyebabkan saya kena memeluknya serta menenangkan dengan perkataan ‘adik dah selamat, umi ada sebelah’,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di bangunan baru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun anaknya tidak serik dan masih mahu meneruskan pengajian di pusat tahfiz itu yang akan beroperasi bulan depan.

“Ketika doktor meminta anak meluahkan perasaannya bagi mengurangkan trauma, dia hanya mahu berjumpa ustaz di pusat tahfiz berkenaan dan saya faham mungkin dia lebih selesa dan memerlukan sokongan daripada mereka,” katanya.

Selain Nor Faizah, seorang lagi bapa, Mohd Aziz Abdullah, 56, yang anaknya, Muhammad Syamin, 18, terselamat dalam kebakaran itu berkata, pihaknya masih mempunyai keyakinan terhadap pusat tahfiz itu walaupun dikecam pelbagai pihak sebelum ini.

“Keyakinan tetap ada dan kami berpuas hati dengan setiap penerangan yang diberikan pihak pengurusan, apa yang penting keinginan anak yang masih mahu meneruskan pengajian di pusat tahfiz berkenaan dan menjadi orang berguna pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood berkata, pihaknya bersyukur kerana 15 pelajar terselamat sudah menyatakan persetujuan untuk meneruskan pengajian di pusat berkenaan dijangka awal bulan depan.

“Terima kasih kepada ibu bapa yang masih yakin dengan kami dan menyatakan persetujuan menghantar anak mereka untuk diasuh sempurna dengan kalimah suci Allah SWT.

“Malah, kita juga menerima 100 permohonan baru daripada pelajar untuk memasuki pusat tahfiz ini tetapi kami perlu melakukan temu duga terlebih dulu. Berdasarkan kapasiti bangunan baru hanya mampu menempatkan 60 pelajar saja,” katanya.

Menurutnya, bangunan baru itu masih dalam proses penambahbaikan mengikut garis panduan diberikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Proses ubah suai mungkin memakan masa antara dua hingga tiga bulan namun kami sudah mempunyai penempatan sementara untuk pelajar ini.

“Bangunan lama yang terbakar juga akan diubah suai untuk dijadikan pusat pengajian kitab turath. Doakan semoga semua usaha kami ini dirahmati Allah,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 5:49am
d