utama

40,000 bikin rekod

Oleh Hayati Ibrahim

LEBIH 40,000 belia menyertai larian amal Malaysians United Run (MUR) 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus diiktiraf PenyertaanTerbesar Belia Dalam Larian oleh Brand Laureate.

Larian lima kilometer (km) anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) itu turut disertai Menteri Pertahanan merangkap Penaung IOJ, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekeluarga dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun.

Hishammuddin berkata, MUR 2017 dengan tema ‘Let's Light Up Our Children’s Future’ bertujuan mengumpul dana untuk disumbangkan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Kepelbagaian kaum ini yang menjadi kekuatan kepada negara. Saya harap momentum ini berterusan.

“MUR 2017 berjaya mengumpulkan 40,000 peserta daripada 60 kolej dan universiti,” katanya ketika berucap sebelum melepaskan peserta larian di SIC, hari ini.

Turut sama melepaskan peserta adalah jaguh badminton negara Wong Chun Han yang membawa Jalur Gemilang.

Menariknya, peserta yang menamatkan larian disambut alunan gamelan dan paluan gendang dari tiga kaum utama di negara ini.

Terdahulu, Hishammuddin turut menyerahkan dana RM250,000 sumbangan pelbagai syarikat bagi menaja pendidikan 50 kanak-kanak kurang bernasib baik.

Dana itu akan dipantau Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) untuk memastikan sumbangan digunakan sebaik mungkin.

Pada majlis sama, Hishammuddin turut memperkenalkan 100 duta IOJ, dan menyampaikan anugerah kepada penuntut Universiti Help Vincent Tan yang diumumkan sebagai duta terbaik.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 11:07am
d