utama

Menangis dan derita demi ilmu

Oleh Amniera Naziera Amran

BERSENGKANG mata hingga 10 jam sehari selain tinggal berjauhan tidak menghalang suami isteri untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Pasangan itu ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada majlis konvokesyen itu, Norsimah Dasan, 45, dan suaminya, Mohd Mahadzir Rahimi Mohamed Nawi, 43, masing-masing menerima PhD Psikologi dan PhD Kurikulum dan Pengajaran.

Mereka adalah antara 732 graduan menerima skrol masing-masing pada dan antara 59 penerima Doktor Falsafah yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin.

Bermula hari ini hingga Isnin, 5,313 graduan pelbagai jurusan diraikan termasuk penerima Ijazah Kehormat (seorang), Ijazah Doktor Falsafah (59) dan Sarjana (576), Ijazah Sarjana Muda (4,632) dan Diploma Kejururawatan (46).

Norsimah berkata, pelbagai cabaran yang perlu mereka harungi sepanjang pengajian empat tahun antaranya menguruskan anak yang masih bersekolah dan terpaksa berjauhan.

“Pada Isnin sehingga Jumaat saya menghadiri kelas manakala pada hujung minggu pula melaksanakan tugas sebagai kaunselor dan mengurus keluarga.

“Banyak waktu berehat atau bersama keluarga terpaksa dikorbankan.

“Bukan itu sahaja, perlu siapkan tugasan sehingga terpaksa bertapa seminggu di asrama bersendirian ketika semua penuntut bercuti

“Pernah juga rasa nak mengalah, namun keluarga terutama suami selalu beri sokongan," katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya meminta pendapat Mahadzir sekiranya mereka berdua melanjutkan pelajaran dan dalam nada bergurau.

Namun, katanya, dia tidak menyangka ia disahut suaminya dengan serius.

“Anak sulung saya yang perempuan berusia 16 tahun memegang tanggungjawab menjaga adik beradiknya yang lain.

“Memang banyak kali menangis kerana paling derita apabila saya sarat mengandung anak kelima pada tahun kedua pengajian.

“Alahan ketika mengandung membuatkan saya kerap tidak hadir ke kelas.

“Saya pernah berputus asa apabila tidak mahu meneruskan pengajian ketika berada di semester ketiga selepas disahkan hamil.

“Namun dorongan ahli keluarga terutama suami dan anak- anak membuatkan saya membatalkan niat itu," katanya yang kini juga bergiat aktif sebagai Kaunselor.

Bagi Mahadzir, dia mengambil PhD sepenuh masa dan terpaksa bercuti sebagai guru bagi subjek Kemahiran Hidup di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Fuad Stephens, Sandakan.

“Cabaran paling hebat apabila saya tiada ketika isteri mengalami pendarahan beberapa kali sepanjang pengajian sehingga doktor mengatakan kandungannya mungkin gugur,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 3:04pm
d