utama

Penjaga garisan kena terajang [METROTV]

Oleh Isma Ismail dan Malik Muhamad

SEORANG penjaga garisan perlawanan Liga Amatur Terengganu 2017 diserang sekumpulan pemain dan pegawai pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak di Kuala Nerus, malam kelmarin.

Video kejadian yang tular di media sosial sejak semalam turut memaparkan penjaga garisan berkenaan dipukul dan diterajang hingga menyebabkannya rebah.

Rakaman berdurasi satu minit 18 saat itu memaparkan penjaga garisan berkenaan pada mulanya dikerumuni beberapa pemain dan pegawai pasukan di tengah padang.

Dia kemudiannya dikejar dan dipukul serta diterajang hingga menyebabkannya terjatuh sebelum dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan petugas lain.

Difahamkan, perlawanan itu membabitkan saingan separuh akhir Liga Amatur Terengganu 2017 antara pasukan Pikat FA menentang PBSMT/Lanjerket FC.

Kejadian itu dipercayai tercetus apabila penjaga garisan berkenaan membatalkan jaringan penyamaan pemain Pikat FA di minit akhir perlawanan kerana ofsaid.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada kedua-dua pihak mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, laporan polis berkenaan dibuat kedua-dua pihak semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengambil tindakan lanjut selepas mereka menarik balik laporan polis terbabit dan menyelesaikan kes berkenaan secara muafakat.

"Cuma saya dimaklumkan bahawa pengadil (penjaga garisan) berkenaan ada dimasukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar hospital semalam (kelmarin) kerana tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, jurucakap PBSNT berkata, Liga Amatur Terengganu 2017 memang mendapat sokongan daripada persatuan bola sepak negeri yang bermatlamat untuk melahir lebih ramai pemain berbakat.

“PBSNT sentiasa menyokong liga seperti itu demi pembangunan sukan bola sepak di Terengganu tetapi pasukan yang bertanding perlu menjaga keharmonian bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini seperti pergaduhan,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 5:44pm
d