utama

Luahan kecewa [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

BERASA ditindas dan kecewa dengan cara penamatan operasi stesen minyak yang diusahakannya, seorang lelaki melakukan protes dengan melekatkan tapak tangannya menggunakan 'super glue' di lantai lobi pejabat syarikat minyak berkenaan di Damansara, Selangor.

Lelaki yang dikenali dengan nama Fazilah, 60-an, melakukan protes dalam keadaan duduk di lantai dan kekal dengan kedudukan itu sambil tangannya terlekat selama lebih 9 jam bermula 12 tengah hari sehingga 9.22 malam, hari ini.

Usaha melepaskan tangannya daripada lekatan gam itu berdepan kesukaran kerana terlalu kuat dan memerlukan bantuan beberapa individu termasuk Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi.

Fazilah berkata, dia memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit kerana kemungkinan tindakan terdesaknya untuk mempertahankan hak itu menyusahkan mereka.

"Saya tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa kerana apa yang saya lakukan ini adalah untuk mempertahankan maruah saya dan pengusaha lain yang ditindas oleh syarikat antarabangsa ini.

"Saya mohon kerajaan ambil peduli dengan masalah saya ini kerana sampai bila saya perlu bertindak macam ini? Saya sudah lakukan melalui saluran yang betul, tetapi tidak mendapat perhatian. Saya buat macam ini (gam tangan) kerana berada dalam tekanan," katanya menerusi siaran langsung di akaun Facebook (FB) Yusuf Azmi.

Sebaik tangannya terlepas daripada lekatan itu, Fazilah dibawa ke Balai Polis Travers untuk diambil keterangan.

Sementara itu, Yusuf berkata, apa yang dilakukan Fazilah bukannya cubaan melakukan huru-hara dan pihak yang berkenaan perlu mengambil perhatian atas masalah yang dihadapi ini.

"Sekiranya permohonan kami untuk bertemu dengan menteri yang berkaitan tidak berlaku, saya akan melakukan demonstrasi aman bersama aktivis yang lain dan peguam di Putrajaya, Jumaat ini.

"Saya beri masa sehingga Khamis ini dan saya nak tengok sampai tahap mana rakyat terpaksa bertindak untuk menuntut hak mereka, barulah pemimpin ini mahu membantu," katanya menerusi siaran langsung itu.

Pada 15 Mei lalu, Fazilah bersama 14 pengusaha stesen minyak dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak menerima notis penamatan operasi stesen mereka dan diberikan tempoh 30 hari untuk menyerahkan stesen minyak masing-masing.

Bagaimanapun, pengusaha tidak bersetuju dengan cara penamatan Perjanjian Pengedar antara syarikat itu dengan mereka serta syarikat berkenaan enggan bertemu mereka untuk menyelesaikan perkara itu sehingga memaksa Fazilah bertindak demikian.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 11:09pm
d