utama

'Bukan jodoh kami'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Hampir 10 tahun hidup solo, penyanyi popular Azharina akhirnya terbuka hati untuk berkahwin sekali lagi apabila berkenalan dengan seorang lelaki berstatus duda yang juga ahli perniagaan, empat bulan lalu.

Namun, impian Azharina, 32, untuk berumah tangga lagi tidak kesampaian akibat masalah yang tidak dapat dielakkan. Dalam erti kata lain, segala perancangan yang sudah diatur musnah.

Namun, Azharina yang juga juara program Gegar Vaganza musim ketiga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya menganggap antara mereka tidak ada jodoh.

“Soal jodoh, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Apabila perkara ini terjadi kepada diri sendiri, saya tidak boleh menyalahkan takdir. Sebaliknya, saya perlu terima, reda dan jalani kehidupan seperti biasa.

“Mungkin Allah belum mengizinkan saya untuk berkahwin lagi. Pada masa sama, saya tidak boleh memaksa pihak lelaki supaya menerima saya. Sebagai orang dewasa yang sudah matang, saya menghormati pendirian dan keputusan berkenaan.

“Tidak ada apa yang perlu diperbesar atau dibangkitkan. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa. Prinsip saya mudah, jangan bersedih atau meratap masalah yang menimpa diri. Ia hanya membuatkan diri jadi lemah. Jadi, sejak awal lagi saya sudah boleh terima kenyataan,” katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai majlis yang dirancang itu, Azharina meminta ia dirahsiakan bagi menghormati kedua-dua keluarga.

“Cukup saya katakan, sepatutnya majlis ini berlangsung tidak lama lagi. Apabila ini yang terjadi, saya akui sangat kecewa. Saya manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Sehinggakan perkara ini membuatkan saya serik untuk berkahwin lagi.

“Bukan mudah untuk saya menerima dan membuka hati kepada lelaki. Namun, kali ini saya silap. Buat masa sekarang cukup setakat ini saja. Saya sudah penat dikecewakan. Pintu hati saya tertutup sekali lagi. Tipu kalau tidak berasa sedih, tetapi saya kena kuat,” katanya.

Azharina yang juga penyanyi lagu Rawan beranggapan apa yang menimpa dirinya itu adalah nasib yang sudah tertulis.

“Mungkin takdir saya hidup sebegini iaitu sebagai ibu tunggal dengan membesarkan dua anak. Malah saya tidak berasa ralat sekiranya tak berkahwin sampai bila-bila. Saya yakin ada hikmah di sebalik semua ini.

“Apa yang penting, fokus saya adalah kerjaya dan keluarga. Sekiranya dia kembali, saya nekad dengan keputusan dibuat. Saya tidak mahu lagi meneruskan perhubungan atau perancangan ini. Malah keluarga saya juga menyatakan pendirian sama,” katanya.

Album baru selepas 9 tahun

Lupakan kisah pilu itu, Azharina yang dikenali dengan semangat juang dalam bidang nyanyian teruja untuk melancarkan album baru.

Kali terakhir Azharina muncul dengan album studio pada 2008 menerusi album Rawan.

“Selepas sembilan tahun, saya bakal muncul dengan album keempat. Album yang memuatkan lima lagu ini menonjolkan sisi matang saya dalam bidang nyanyian. Pendek kata, lagu yang ada tidak sama seperti kebanyakan dihasilkan sebelum ini.

“Menariknya, susunan lagu dalam album ini dibuat di Filipina sementara proses mastering pula mendapat sentuhan pemuzik Indonesia iaitu pasukan sama yang menghasilkan lagu popular Agnes Monica.

“Saya tidak mahu membangga diri, cuma apa yang boleh dikatakan semua lagu ada keunikan dan sangat berkualiti. Malah, peminat tidak boleh menjangka lagu berkenaan adalah nyanyian saya. Memandangkan ia mendapat sentuhan pemuzik seberang, jadi tidak mustahil jika ada beranggapan ia lagu dari Indonesia,” katanya.

Istimewanya juga, album yang belum diberikan judul itu menyaksikan kerjasama semula komposer Julfekar dengan Azharina.

Seperti yang semua maklum, Julfekar adalah komposer yang membawa nama Azharina di puncak populariti menerusi lagu Elergi Sepi, Seandainya dan banyak lagi.

“Dari awal kemunculan saya, Uncle Jul (Julfekar) adalah individu yang tahu muzik dan kekuatan saya. Boleh dikatakan, album baru saya ini adalah projek daripadanya. Jadi, saya serahkan sepenuhnya kepada dia.

“Pada masa sama, saya percaya dengan sentuhan magisnya. Hasilnya, lagu yang dihasilkan kena dengan jiwa dan cita rasa saya. Daripada 15 lagu yang diberikan, saya pilih lima yang terbaik,” katanya yang memulakan sesi rakaman sejak awal tahun ini.

Menurut Azharina, sebelum melancarkan album itu dia terlebih dahulu bakal mengadakan sesi pradengar lagu bersama media pada 30 November ini.

Perkembangan lain, Azharina juga dalam proses menghasilkan single baru yang juga hadiah kemenangan ketika menyertai GV3.

Single itu bakal mendapat sentuhan penyanyi Hazami sekali gus bakal mengulangi kehebatan lagu Rawan.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 7:03am
d