utama

Restoran menu terlarang

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Telupid: Sebuah restoran di Kampung Wonod, dekat sini, dikesan menawarkan pelbagai menu eksotik daripada daging spesies haiwan dilindungi untuk pelanggannya sejak beberapa bulan lalu. Pelanggan bukan saja boleh memilih hidangan rusa dan babi hutan, malah labi-labi, musang dan kucing hutan turut disajikan.

Bagaimanapun, aktiviti jijik pengusaha restoran itu terbongkar selepas premis itu diserbu dalam operasi khas Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari, seorang wanita berusia 57 tahun yang dipercayai pemilik restoran turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang permit memiliki daging haiwan dilindungi itu.

Pegawai JHL Sandakan Hussien Muin berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan kakitangan JHL dikerah melaksanakan operasi berkenaan.

“Ketika serbuan kami menemui pelbagai daging spesies haiwan dilindungi di restoran itu. Ia disimpan di dalam peti sejuk beku. Ia termasuk 1.2 kilogram (kg) kucing hutan, musang (2.4 kg), labi-labi (6.6 kg), babi hutan (2 kg) dan rusa (5.4 kg).

“Daging labi-labi yang ditemui siap dipotong dalam bentuk lebih kecil,” katanya, di sini, semalam.

Hussien berkata, pihaknya turut menemui bangkai labi-labi yang dipotong seberat 10.2 kg.

“Selain itu, kami menemui sejumlah tulang disyaki rusa seberat 2.2 kg,” katanya.

Beliau berkata, semua daging terbabit dirampas dan dibawa ke stor penguatkuasaan JHL di Sepilok untuk tindakan lanjut.

Katanya, susulan kejadian, jabatan turut membuat laporan berhubung rampasan di Balai Polis Telupid.

Dalam pada itu, Hussien berkata, berdasarkan siasatan, daging hidupan berkenaan menjadi menu pilihan penggemar hidangan eksotik yang berkunjung ke daerah ini.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat berhubung kes ini termasuk dari mana pengusaha restoran mendapatkan bekalan daging haiwan itu.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 7:55am
d