utama

Air mata Nozula

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) diarah keluar dari Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana melanggar peraturan dewan kira-kira 11.20 pagi tadi.

Nozula diarahkan keluar selepas tidak mematuhi arahan Speaker DUN Datuk Abdullah Yakob supaya tidak membahaskan Bajet Kelantan 2018 dalam sesi penggulungan.

Susulan itu, empat ADUN Barisan Nasional (BN) yang mengikuti sesi penggulungan itu iaitu Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Datuk Ramzi Ab Rahman (Dabong), Ab Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) bertindak keluar sebagai membantah keputusan dewan itu dan tidak menghadiri sesi penggulungan bajet 2018.

Terdahulu, keadaan menjadi kecoh seketika selepas Nozula meminta laluan untuk membahaskan Bajet Kelantan 2018 ketika sesi penggulungan yang dimulakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Kelantan, Datuk Dr Ramli Mamat namun tidak dibenarkan Abdullah.

"Yang berhormat speaker, ambo (saya) minta izin nak kecek (bercakap) sikit saja sebagai mewakili rakyat. Speaker tolong beri.

"Tolong beri peluang kepada saya, sebagai ketua pembangkang takkan tidak kecek dan saya tak akan duduk kalau saya tak puas hati.

"Semalam nak bangun (bahas) beri kepada orang PAS..berapa je orang UMNO (dapat bahas)?," katanya.

Bagaimanapun Abdullah tetap tidak membenarkan Nozula berbuat demikian kerana sudah memberi peluang kepada 10 ADUN membahaskan bajet itu semalam.

"YB mohon duduk, Paloh sila duduk, semalam saya sudah beri peluang kepada 10 orang untuk bahas.

"Saya sebut dua kali saja sila duduk," katanya.

Nozula tetap pendirian untuk membahaskan bajet itu dan enggan duduk sehingga Abdullah mengeluarkan arahan supaya bentara membawa Nozula keluar daripada dewan.

Nozula kemudian dilihat menangis teresak-esak sebelum dilihat keluar daripada dewan.

Sementara itu, Nozula ketika ditemui di luar dewan berkata, dia sepatutnya diberi peluang membahaskan bajet itu sebagai Ketua Pembangkang.

"Saya dukacita dengan perbuatan Datuk Speaker yang sepatutnya memberi peluang kepada saya untuk gulung perbahasan dan juga memberitahu perkara bersangkutan untuk kepentingan rakyat, tetapi mereka menolak," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 12:45pm
d