utama

'Shahrul adalah anugerah buat saya'

Oleh Syaherah Mustafa

KERAP diejek kerana sebelah telinganya cacat dan mengalami masalah pendengaran namun ia bukan halangan buat kanak-kanak 11 tahun ini untuk menjalani kehidupan normal.

Kekurangan itu juga menjadikan Shahrul Nizam Mamat yang belajar di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang lebih cekal dan tabah.

Dia juga banyak membantu ibunya, Rubiah Che Mat, 44, berniaga pisang goreng di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang pada setiap petang.

Rubiah berkata, sebelum ini anak ketujuh daripada lapan beradik itu pernah mengadu tertekan dengan ejekan rakan mengenai telinga kanannya yang kecil berbanding kiri dan kurang pendengaran.

"Saya selalu nasihatkan dia supaya bersabar dan anggap dirinya istimewa kerana ditakdirkan mempunyai fizikal begitu berbanding orang lain.

"Alhamdulillah dia mendengar nasihat saya dan kini lebih cekal dan reda dengan ketentuan Allah," katanya yang ditemui di gerainya.

Menurutnya, Shahrul Nizam mengalami kecacatan itu sejak lahir dan pada awalnya, doktor memberitahu dia tidak akan mengalami sebarang masalah untuk mendengar walaupun saiz telinga tidak seimbang.

Bagaimanapun, semakin kanak-kanak itu membesar, dia mengalami kesukaran untuk mendengar dengan jelas dan kurang peka.

"Masalah lain tiada, cuma masalah pendengaran itu dan dia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pendengaran sejak tahun lalu yang dipasang di kedua-dua telinga.

"Ia dipakai selepas doktor mengesahkan kedua-dua telinganya tidak dapat berfungsi dengan baik," katanya yang turut menjual nasi berlauk pada setiap pagi untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Sebelum ini, Shahrul Nizam mengalami masalah pertuturan, namun ia semakin baik selepas mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, tahun lalu, pertuturannya kini sudah semakin baik dan mudah difahami.

"Dia memang lambat bercakap, malah ketika usia empat tahun, dia langsung tidak menyebut sebarang perkataan. Alhamdulillah, sekarang dia sudah mampu bercakap lancar “serta membesar dengan sihat,” katanya.

Rubiah berkata, dia dan suami, Mamat Isa, 53, juga tidak pernah membezakan Shahrul Nizam berbanding anaknya yang lain, malah kanak-kanak itu seorang yang rajin serta gemar membantunya menjual di gerai tanpa disuruh.

Katanya, anaknya itu sering menyatakan rasa kasihannya melihat Rubiah bekerja keras untuk menyara dia dan adik beradik lain.

"Shahrul adalah anugerah buat saya. Saya berharap dia juga mampu berjaya dan menjadi insan berguna seperti orang lain yang tiada kekurangan fizikal," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 1:24pm
d