utama

Serakah nafsu `duda terlampau'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan seorang duda beranak dua di Alor Setar, Kedah, Ahad lalu, selepas disyaki melakukan pemerasan dan ugutan menyebarkan gambar separuh bogel seorang wanita yang juga isteri orang.

Lelaki berusia 40 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan kira-kira 5 petang oleh sepasukan polis Balai Polis Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya bertindak atas maklumat selepas menerima laporan mangsa yang didakwa diugut suspek kerana tidak mahu memberinya RM5,000.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 48 tahun dan tidak bekerja itu berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook (FB) pada 6 November lalu dan sepanjang tempoh perkenalan, suspek sering mengajak mangsa untuk berjumpa.

"Mereka akhirnya bersetuju untuk berjumpa pada Khamis lalu. Suspek datang dari Kedah ke Johor dengan menaiki bas dan mangsa mengambilnya di terminal bas sebelum menginap di sebuah hotel di Nusa Bestari, Skudai, Johor," katanya.

Beliau berkata, mangsa mendakwa berada dalam keadaan separuh sedar ketika di hotel dan menuruti semua arahan suspek serta tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.

Katanya, pada kira-kira 12 tengah hari, Jumaat lalu, mereka pergi Singapura untuk berjalan-jalan sebelum mangsa menghantar semula suspek ke terminal bas pada 12.20 tengah malam Sabtu lalu, untuk pulang ke Kedah.

"Pada hari yang sama kira-kira 4 petang, suspek menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan meminta wang sebanyak RM5,000 dan mengugut akan memberitahu suami mangsa bahawa mereka ada berjumpa dan akan menyebarkan gambar separuh bogel mangsa kepada suaminya sekiranya tidak memberikan wang diminta," katanya.

Noor Hashim berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan masih ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 2:07pm
d