utama

Onar si gila

Oleh Omar Ahmad

Batu Pahat: Kegusaran lebih 1,000 penduduk tiga kampung iaitu Kampung Belahan Tampok, Kampung Parit Tengah dan Kampung Sri Merlong, Rengit, akibat beberapa kejadian kebakaran berakhir apabila polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman.

Penduduk Kampung Belahan Tampok, Mohammad Hassan, 48, berkata, sejak awal tahun ini beberapa kebakaran pondok dan rumah berlaku selain kecurian harta benda, ternakan dan tanaman.

Kehadiran lelaki berusia 33 tahun yang menghuni kebun terbiar di kawasan berhampiran merisaukan penduduk kerana dia sering membawa parang.

“Saya difahamkan individu itu kurang siuman kerana pernah masuk ke rumah penduduk dan mencuri dengan bersenjatakan parang sejak awal tahun ini.

“Ramadan lalu, satu reban ayam saya mati kerana kepaknya dipotong dipercayai dibakar dan dimakan individu tidak bertanggungjawab.

“Berikutan kejadian itu, saya membuat laporan polis kerana bimbang lelaki berkenaan bertindak lebih agresif dan mengganggu ketenteraman penduduk,” katanya.

Pekerja swasta, Omar Ahmad, 56, berkata, rumahnya yang baru siap dibina dibakar, petang kelmarin.

Kejadian disedari isterinya Junainon Talib, 56, yang pulang ke Kampung Parit Tengah untuk meninjau proses pembinaan rumah itu.

“Saya menetap di Johor Bahru sementara menunggu rumah siap kerana bekerja. Sebaik dimaklumkan isteri, saya bergegas pulang dan mendapati satu rumah rosak akibat perbuatan khianat.

“Mozek, lampu dan siling yang baru dipasang juga retak manakala sistem pendawaian rosak. Kami bernasib baik kerana bekalan elektrik belum diperoleh, jika tidak mungkin perkara lebih buruk berlaku.

“Isteri membuat laporan di Balai Polis Rengit dan menganggarkan kerugian RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan penahanan lelaki itu.

Suspek ditahan jam 6.30 petang, kelmarin di kebun sawit Kampung Parit Tengah Sri Merlong.

“Ketika itu suspek memegang parang dan cuba melarikan diri tetapi ditahan anggota polis walaupun berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan pada tubuh suspek menemui kotak mancis di poket kanan seluarnya.

“Parang dan mancis itu dirampas untuk siasatan dan kami mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Pihaknya menunggu ujian saringan air kencing dan memeriksa rekod jenayah serta perubatan lelaki berkenaan.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 6:20am
d