utama

Tak sempat sampai rumah

Oleh Rosliza Mohamed

PENIAGA parah selepas diserang dan disamun empat lelaki dalam kejadian di Kampung Runsing, Kuala Balah, Jeli.

Peniaga lelaki itu cedera di kepala dan patah betis kanan selepas diserang dalam kejadian pada kejadian 5.15 petang semalam.

Lelaki berkenaan yang masih dirawat di Hospital Jeli, kerugian kira-kira RM5,000 apabila barang kemas dan duitnya dilarikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 55 tahun pulang ke rumahnya.

“Kemudian terdapat Proton Wira menghampiri dan tiga daripada empat lelaki keluar dan terus menyerangnya.

“Mereka dipercayai menggunakan senjata seperti pedang samurai dan kayu selain cangkul.

“Mangsa juga dikatakan bergelut dengan suspek sehingga mendapat kecederaan. Keadaannya kini stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis tiba sejurus mendapat maklumat dan siasatan dijalankan di tempat kejadian menemui pedang, cangkul, kayu dan serpihan kayu golf yang ada kesan darah di luar rumah mangsa.

Katanya, usaha memburu suspek giat dilakukan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 9:18am
d