utama

Mujur tak tertusuk anak mata

Oleh Zulfa Mohamad

KANAK-KANAK berusia tiga tahun bernasib baik kerana mata kail hanya tersangkut pada kelopak mata kiri ketika bermain joran tidak jauh dari rumahnya di Pokok Tampang, Tasek Gelugor, petang semalam.

Kejadian berlaku 2.30 petang ketika Luqman Farizzuan Muhd Ridduan bermain joran bersama abangnya berusia sembilan tahun dan seorang rakan.

Ketika bermain, mata kail di joran tiba-tiba tersangkut pada kelopak mata Luqman menyebabkan dia menangis kesakitan.

Kebetulan kejadian itu disedari jiran yang bertindak memotong tali joran bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.

Bapa mangsa, Muhd Ridduan Ismail, 29, kebetulan baru pulang ke rumah sebelum mendapat tahu anak bongsunya terkena mata kail.

"Sebaik meneliti mata kail berkenaan saya dapati ia tersangkut pada kelopak mata Luqman dengan bahagian cangkuk berada di bahagian dalam.

"Nasib baik ia tidak terkena anak mata, jika tidak dia mungkin akan mengalami kecederaan lebih serius," katanya.

Muhd Ridduan membawa anaknya itu ke Hospital Kepala Batas (HKB) dengan mata kail masih melekat pada kelopak mata.

"Bagaimanapun, anak saya dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan.

"Nasib baik mata kail berjaya dibuang tanpa perlu pembedahan. Jika tidak entah apa akan jadi," katanya.

Muhd Ridduan berkata, joran yang menjadi alat mainan anaknya itu bukan miliknya, tetapi ditemui tidak jauh dari rumah.

"Saya pun tidak pasti joran berkenaan milik siapa. Memang saya ada joran tetapi disimpan di tempat selamat," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 4:46pm
d