utama

'Saya nampak treler tu datang'

Oleh Ahmad Ismail

“SELEPAS mengelak treler, bas kami terbabas ke dalam parit di kiri jalan menyebabkan keadaan jadi huru-hara.”

Itu kata Mohd Asri Mohamad, 17, seorang daripada 44 penumpang bas ekspres yang kemalangan dengan treler di Kilometer 8, Jalan Genuang, Segamat, Johor, pada 4.20 petang, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya 20 penumpang termasuk pemandu bas, isteri dan dua anaknya selain pemandu dan kelindan treler cedera.

Pelajar Kolej Vokasional Segamat itu berkata, ketika kejadian dia berada di tempat duduk depan dan dapat melihat dengan jelas bagaimana pemandu bas cuba mengelak treler yang datang dari depan.

Mohd Asri yang ditemui di Hospital Segamat, berkata dia bersama rakan menaiki bas ekspres itu di Terminal Bersepadu Pengangkutan Awam di bandar Segamat, pada kira-kira 4 petang.

Menurutnya, mereka menuju ke Johor Baharu untuk pulang bercuti hujung minggu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Segamat, Timbalan Penguasa Bomba Aizat Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan beberapa minit selepas kejadian.

Menurutnya, bomba bergegas ke lokasi kejadian bersama satu jentera penyelamat dan ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, tiba di lokasi pihaknya mendapati penumpang bas dan pemandu sudah diselamatkan oleh orang ramai.

Menurutnya, mereka diberi rawatan awal kerana mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Segamat.

Katanya, bas ekspres terbabit membawa 17 pelajar Kolej Vokasional Segamat dan 23 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat berusia 16 hingga 20-an.

“Isteri dan dua anak pemandu bas berusia 41 tahun itu ada bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat berkata, bahagian hadapan treler itu rosak teruk manakala bas agak teruk pada sebelah kiri.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 8:33pm
d