utama

Panggil cikgu 'bonda' [METROTV]

Oleh Syazwan Msar dan Asrizal Aris

 

“KALAU dapat 6E pun mereka tetap 'anak-anak' bonda,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Wangsa Maju Zon R10, Kuala Lumpur, Sa’adiah Mohd Noh, yang memupuk sifat kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah.

Bagaikan satu keluarga besar apabila murid dan guru di sekolah berkenaan mengguna gelaran bonda, ibu, bapa, ayah dan anak syurga antara satu sama lain bagi merapatkan hubungan selain memupuk sifat lebih menghormati di kalangan mereka.

Insiatif berkenaan dilaksanakan lebih setahun lalu sebenarnya turut berkesan dalam memupuk sifat kasih sayang dan juga rahsia pihak pengurusan sekolah dalam melahirkan murid tahun enam cemerlang dalam bidang akademik serta kokurikulum.

Menurut Sa’adiah, sejak berpindah ke sekolah berkenaan setahun lalu, dia mengambil inisiatif meminta murid memanggilnya dengan panggilan bonda manakala guru lain pula ibu atau ayah.

“Saya meminta guru memanggil murid dengan panggilan ‘anak syurga’ berikutan mereka perlu dididik seperti anak sendiri penuh kasih sayang dan paling utama tidak menekankan aspek akademik semata-mata.

"Panggilan berkenaan dapat mendekatkan lagi murid dengan guru tanpa sebarang protokol sekali gus dapat berkongsi masalah yang dihadapi anak syurga itu.

“Setiap murid ada kelebihan masing-masing cuma kita perlu lebih bijak mengasah bakat mereka seterusnya menjadi insan berhati mulia serta berdedikasi,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), hari ini.

Menurut Sa’adiah, kira-kira 70 peratus murid di sekolah itu daripada keluarga berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perlu diberi perhatian supaya mereka tidak rasa terpinggir.

Selain itu, pihaknya tidak menekankan aspek akademik semata-mata terhadap murid untuk menjadi lebih cemerlang, namun kokurikulum turut dititik berat bagi memastikan mereka mempunyai sifat murni dan lebih berdikari pada masa akan datang.

“Saya mengalu-alukan 'anak-anak syurga' saya terbabit secara aktif dalam kokurikulum kerana bidang itu boleh melatih mereka menjadi insan bertanggungjawab dan lebih berdisiplin pada masa akan datang.

“Pada masa sama, pihak sekolah juga turut menggalakkan pembabitan ibubapa secara aktif dalam program yang dilaksanakan kerana itu mampu memberi dorongan baik kepada murid,” katanya.

Pada majlis itu, 127 murid tahun enam menerima sijil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan tujuh daripada mereka berjaya memperoleh 6A.

Murid cemerlang, Nurfarzana Aliah Shamsul, 12, berkata, dia bersyukur memperoleh kejayaan berganda apabila menerima keputusan UPSR 6A selepas dinobatkan murid terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Katanya yang bercita-cita menjadi doktor gigi, dia mengamalkan mengaji al-Quran selepas solat Subuh sebagai resipi kejayaannya.

"Jika saya ada kelapangan, saya akan dekatkan diri dengan al-Quran dan saya juga mahu menjadi seorang doktor yang hafaz al-Quran.

"Memang jadual harian saya padat kerana bersekolah pagi (sekolah kebangsaan) dan petang (sekolah agama) tetapi saya masih boleh aktif dalam sukan terutamanya memanah," katanya.

Menurutnya, guru dan rakan sekolah umpama 'keluarga kedua' baginya apabila sifat kekeluargaan yang diwujudkan memberikan suasana yang lebih selesa kepada murid-murid untuk belajar dan aktif dalam kokurikulum.   

Sementara itu, murid 6A, Nur Aina Batrisyia Mohd Royzaini, 12, berkata, kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang itu memberikannya semangat untuk menjadi contoh terbaik kepada dua lagi adiknya. 

"Sebagai anak sulung, ada sedikit tekanan untuk saya mendapatkan keputusan yang baik. Namun, atas usaha dan persediaan daripada pihak sekolah banyak membantu saya.

"Selain itu, hubungan antara murid dan guru di sekolah ini juga unik kerana kami hormat menghormati dan saling membantu dalam apa jua keadaan," katanya.

Tujuh murid SK Wangsa Maju Zon R10 memperoleh keputusan 6A dan mencatatkan peningkatan apabila hanya seorang murid sahaja memperoleh keputusan keseluruhan A pada tahun lalu.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 12:29am
d