utama

'Niat saya beri yang terbaik'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Persembahan duet Ernie Zakri dan Syamel menerusi lagu Aku Cinta pada separuh akhir Muzik Muzik 32 minggu lalu ternyata meninggalkan impak besar kepada penonton.

Kebanyakan komen yang ditulis di laman sosial memuji kehebatan vokal juara program Duo Star itu selain menyifatkan mereka penyanyi bagus dan berkualiti.

Malah, ada juga yang menyifatkan Ernie dan Syamel seperti ‘menelan CD’ apabila nyanyian mereka tidak ubah seperti rakaman asal.

Lebih bermakna apabila lagu ciptaan Syamel itu diumumkan layak ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan.

Bagaimanapun, Ernie yang juga penyanyi lagu Jangan Marah menafikan dirinya sudah cukup bagus, malah jauh sekali ingin mendabik dada.

“Bukan nak kata bagus, tetapi saya mengaku memberikan persembahan ‘all out’ begitu juga dengan Syamel. Sebab niat saya memang nak berikan yang terbaik. Bagi saya peluang ini datang sekali.

“Jadi kami memang merancang buat sehabis baik. Tolak tepi soal layak atau tidak asal saja kami dapat membuat persembahan seikhlas hati. Hasilnya, alhamdulillah saya syukur apabila semua orang nampak,” katanya.

Ernie berkata, setiap maklum balas diterima menambahkan lagi semangatnya untuk beraksi di pentas akhir.

“Saya gembira apabila ramai memberikan maklum balas positif apatah lagi ini pembabitan pertama saya pada AJL. Komen diberikan sangat memberi semangat kepada saya dan Syamel. Secara peribadi kami tak sabar beraksi di pentas berprestij ini yang diidamkan setiap penyanyi.

“Dalam karier nyanyian saya pula, ini satu titik permulaan yang sebenarnya. Saya terharu apabila persembahan kami pada malam separuh akhir mendapat perhatian. Layak atau tidak, ia bukan keutamaan kerana kami memang mahu memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Tidak hanya itu, ramai juga meramalkan jika pasangan duo ini mampu meraih gelaran Vokal Terbaik.

“Saya aminkan setiap komen mereka dan terima ia sebagai satu doa. Apa yang bakal terjadi pada malam AJL nanti kita tak tahu. Lagipun, ada ramai lagi penyanyi yang bagus. Saya susah nak cakap boleh menang atau ada rezeki. Ini kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku, sama ada okey atau tidak.

“Berdasarkan komen diberikan, mereka percayakan kemampuan dan pesembahan kami. Walaupun kami belum tunjukkan persembahan sebenar, tetapi sudah banyak yang memberikan sokongan. Bagi saya, ini semua satu rezeki apabila dititipkan doa sedemikian. Insya-Allah kalau betul rezeki kami, ia satu rahmat,” katanya.

Pada masa sama, Ernie menepis tanggapan segelintir pihak yang melihat kerjaya sebagai guru vokal memberikan satu kelebihan untuknya membawa pulang trofi Vokal Terbaik itu.

“Soal guru vokal, ia hanya kerjaya sampingan saya selain menyanyi. Bagi saya, rezeki tidak berpihak pada gelaran. Semuanya bakal terjawab pada malam akhir nanti. Macam saya katakan tadi, ia bergantung sejauh mana persembahan kami iaitu bagus atau tidak.

“Apa yang boleh dikatakan, sehingga hari ini saya dan Syamel hanya boleh aminkan doa peminat yang inginkan kami menang. Mana tahu ramalan mereka menjadi kenyataan. Selebihnya kami hanya boleh berdoa dan berusaha.

“Dari segi persembahan pula, kami akan buat sedikit perubahan pada susunan muzik dan vokal. Apa yang disaksikan pada separuh akhir adalah bayangan untuk AJL nanti. Kami masih mengekalkan tema putera dan puteri raja dalam persembahan. Kami masih dalam perancangan lagi kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Apa yang pasti, kami cuba tampilkan kelainan,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana hubungannya dengan Syamel yang sebelum ini digosipkan bercinta, Ernie kekal dengan jawapan mengatakan mereka bersahabat baik.

“Saya dan Syamel memang akrab, sebab kami sahabat baik. Selepas Duo Star, hubungan kami tak pernah putus sebaliknya teruskan dengan lagu duet ini. Selepas itu, saya pula mengajar Syamel dari segi vokal ketika dia menyertai AF Megastar.

“Jadi kami sentiasa berhubung. Apatah lagi nak dekat pertandingan AJL. Selalunya kalau keluar makan pun bersama dengan rakan lain. Lagipun, semua orang buat perkara sama macam kami. Jadi, tidak perlu ada sebarang isu. Apa-apa pun, dia tetap sahabat akrab saya,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 5:15am
d