utama

Ikut udang naik pantai

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Fenomena tangkapan ikan gelama mencecah ribuan kilogram oleh nelayan pantai di sekitar Pantai Batu Hitam dan Balok, di sini, bukan petanda berlaku bencana alam, sebaliknya ia adalah perkara biasa berikutan musim udang baring datang ke pesisir pantai.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Azahari Othman berkata, ia satu fenomena biasa yang berlaku setiap tahun berikutan peralihan perubahan angin Monsun Timur laut sejak beberapa hari lalu.

“Apabila udang datang ke pesisir pantai, spesies ikan seperti gelama dan selayang turut mengikut serta menyebabkan ia mudah ditangkap dan banyak diperoleh nelayan terbabit.

“Situasi ini yang berlaku sejak lima hari lalu dan mungkin dalam beberapa hari ia berakhir,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pantai Batu Hitam dan Pantai Beserah di sini, semalam.

Beliau berkata, aktiviti penangkapan itu dijalankan di kawasan perairan Batu Hitam dan Balok oleh nelayan terbabit dengan menggunakan pukat tarik.

“Hasil tangkapan keseluruhan bukan sehingga 100 tan metrik, tetapi mungkin mencecah tiga tan saja,” katanya.

Katanya, orang ramai tidak perlu takut untuk membeli ikan berkenaan kerana ia selamat dimakan.

“Kami juga minta orang ramai tidak menyebarkan perkara tidak benar mengenai perkara ini kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Azahari berkata, pihaknya meminta nelayan yang ingin ke laut supaya memantau keadaan cuaca dengan pihak berwajib berikutan peralihan monsun yang mengakibatkan angin kencang dan ombak tinggi.

Sementara itu, nelayan, Ramli Mohamad, 50, berkata, setiap tahun dia tidak melepaskan peluang memukat ikan setiap kali tiba musim peralihan monsun.

“Ia aktiviti tahunan dan umpama pesta menangkap ikan. Setiap pagi saya akan ke laut dan menangkap ikan di sepanjang perairan Balok, Beserah hingga ke Kuantan.

“Pada musim ini ikan paling banyak adalah gelama, ada masanya akan tiba musim sotong dan udang. Tempoh ini lubuk rezeki buat nelayan,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 5:42am
d