utama

8 saat, lesap tiga guni duit

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

DUA penjenayah tanpa senjata mengambil masa kurang lapan saat melarikan tiga guni wang dianggarkan RM150,000 daripada van keselamatan di depan hadapan bank di Taman Sri Serdang, Serdang, Selangor, pada 10.30 pagi.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, ketika kejadian empat pengawal keselamatan sedang bertugas untuk mengambil duit di bank berkenaan.

Katanya, dua pengawal berada dalam bank bagi urusan pemindahan duit manakala dua lagi pengawal berada dalam van.

“Menerusi siasatan awal, terdapat dua pengawal berada dalam van iaitu satu di bahagian pemandu, manakala seorang lagi di belakang yang menjadi tempat simpanan guni duit itu.

“Rakaman CCTV di tempat kejadian menunjukkan dua penjenayah yang memakai topi keledar menghampiri van dan terus membuka pintu tepi van.

“Sebaik membuka pintu, penjenayah terus melarikan tiga guni beg duit kurang daripada lapan saat menggunakan sebuah motosikal Yamaha 125Z,” katanya.

Katanya, polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat unsur subahat dalam kalangan pengawal berikutan penjenayah membuka pintu van dengan mudah selain tiada senjata digunakan seolah-olah ia dirancang terlebih dulu.

Beliau berkata, polis sudah menahan keempat-empat pengawal bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

“Lazimnya, van keselamatan hanya boleh dibuka menggunakan kunci keselamatan utama ataupun dibuka oleh orang yang berada di dalam van.

“Oleh itu, kita tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur subahat antara empat pengawal terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 2:45pm
d