utama

Sejarah baru Ella

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Dia mencipta sejarah sebagai penyanyi tempatan pertama yang merakamkan album penuh di Amerika Syarikat.

Dia juga penyanyi wanita pertama tempatan yang mencapai jualan album terbanyak dan gagal diatasi mana-mana penyanyi wanita hingga hari ini.

Ella yang terkenal dengan gelaran ratu rock kini mencipta sejarah baru dalam industri seni tanah air apabila bekerjasama dengan Orkestra Filhamornik Malaysia (MPO) untuk konsert yang akan berlangsung pada 2 Disember dan 3 Disember ini jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.

Bertepatan tema konsert A Rock Queen’s Journey, peminat akan dibawa menyusuri perjalanan seni Ella selama 30 tahun menerusi lagu popularnya.

Peminat akan disajikan dengan interpretasi simfoni MPO untuk lagu malar segar Ella antaranya Pengemis Cinta, Pedih, Nuri, Kesal, Gemilang, Demi, Dua Insan Bercinta, Rindu, Layar Impian, Sembilu dan hit terbarunya Ku Sedia.

Berkongsi perasaannya Ella, 51, ketika ditemui berkata, dia amat bertuah kerana terpilih dalam persembahan yang bakal melakar sejarah baru dalam profilnya sebagai anak seni.

“Saya menyahut cabaran untuk beraksi di pentas besar ini. Saya hanya berharap lagu yang dipilih tak mengecewakan peminat.

“Diharapkan semuanya merangkumi susunan muzik dan suasana persekitaran pada malam itu akan menjadi sesuatu yang berbeza dan indah,” katanya.

Menurutnya, susunan muzik yang ditampilkan agak berbeza kerana daripada muzik rock ditukar kepada pelbagai genre.

“Lagu yang dipilih juga ada medley yang agak panjang tapi pada saya ia amat menarik. Saya dapat rasa satu dunia muzik yang berbeza dan mengujakan yang bakal ditempuhi dalam konsert ini.

“Untuk medley ini, lima lagu balada menjadi pilihan tapi kerana susunan muzik berlainan dan dengan bunyi orkestra yang lain, ia akan jadi berbeza,” katanya.

Sebelum ini Ella pernah tampil di pentas DFP bersama dua legenda rock, Mus MAY dan Man Kidal dalam konsert MPO Rocks sempena Festival Seni Dewan Filharmonik PETRONAS pada 2013.

Berbaki hanya seminggu, Ella mengakui persediaan sedang rancak dilakukan termasuk pilihan pakaian yang sesuai untuk digayakan nanti.

“Saya kena kerja keras kerana konsert ini akan mengangkat saya ke satu tahap yang berbeza. Debaran memang dirasai.

“Dengan masa persembahan yang sangat padat, saya memilih untuk menukar pakaian dua kali,” katanya.

Sementara itu, konduktor Ahmad Muriz Che Rose yang akan memimpin 70 pemuzik MPO untuk persembahan ini berkata, koleksi lagu Ella yang banyak bakal menjadikan konsert ini amat menarik.

“Kami menampilkan 16 lagu termasuk medley. Untuk pilih lagu yang sesuai juga mengambil masa selama enam bulan. Pertimbangan dan penilaian rapi dibuat untuk tampilkan yang terbaik.

“Sebanyak 15 lagu adalah nyanyian solo, manakala satu medley mengandungi lima lagu akan dihidangkan dalam tempoh masa persembahan selama dua jam,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini dijual dengan harga RM380, RM270, RM210 dan RM150 dan boleh dibuat menerusi boxoffice@dfp.com.my

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 4:43am
d