utama

Kubur enam pemimpin digali

Oleh Muhamaad Razis Ismail

HUJAN renyai mengiringi kerja menggali kubur enam pemimpin Melayu Besut ketika zaman Jepun di Kem Kijang, Jalan PCB, Kota Bharu, kira-kira 8 pagi ini.

Jasad enam pemimpin ini disemadikan di kawasan itu kira-kira 72 tahun lalu selepas dibunuh tentera Jepun pada 1945.

Upacara pengebumian semula penggawa Allahyarham Wan Embong Wan Zainal bersama rakannya, Yatim Ahmad (Imam Masjid Kampung Teluk).

Selain itu, pengebumian semula akan dilakukan jga buat empat ketua kampung, Karim Abd Samad, Husain Abdullah, Othman Mamat dan Ismail Ahmad (Teluk).

Enam arwah itu dijangka disempurnakan di Tanah Perkuburan Kampung Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut, Terengganu selepas Zohor.

Kira-kira 100 sanak saudara hadir menyaksikan kerja mengali kubur terbabit menggunakan jengkaut.

Beberapa cebisan tulang turut ditemui ketika proses penggalian dijalankan.

Pengerusi jawatankuasa majlis pengebumian semula, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 78, berkata kerja menggali kubur sudah dirancang sejak tiga bulan lalu.

Dia yang juga cucu saudara Allahyarham Wan Embong, berkata ahli keluarga sepakat membawa pulang serpihan tulang untuk dikebumikan dengan sempurna di tanah kampung perkuburan Islam.

“Sebelum ini, jasad mereka dikebumikan di tanah awam di kolej ini yang pada ketika dulu tempat pembunuhan pejuang menentang Jepun.

“Oleh itu, kami sebagai waris berasa bertanggungjawab untuk kebumikan mereka secara sempurna di tanah perkuburan Islam.

“Alhamdulillah selepas mendapat persetujuan keluarga dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiada Melayu Kelantan ( MAIK) dan Pejabat Agama Daerah Besut, kerja menggali dijalankan.

“Serpihan tulang milik kesemua pejuang akan dibawa pulang ke Besut untuk disolatkan dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut,” katanya.

Menurutnya, enam pemimpin Melayu ini cukup disegani di Besut kerana menentang kezaliman pemerintahan Jepun ketika itu.

“Mereka ditangkap di Besut sebelum dibawa ke Kelantan dan dibunuh. Mereka dikebumikan dalam satu lubang.

“Hanya selepas setahun kejadian itu berlaku, baru ahli keluarga tahu mereka dibunuh dan ditanam di kawasan itu," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 12:19pm
d