utama

'Ambik la...satu kontena free'

Oleh Helmy Abd Rahman

“DENGAN barangan percuma ini dapatlah saya gunakan duit belanja beli keperluan lain pula,” kata Nabisah Omar, 60, dari Kampung Seberang Tuan Chik Haji, Kuala Nerus.

Wanita itu antara 500 pengguna yang tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan percuma pada program 'V-Care, V-Concern Free Market For Needy' di Giant Hypermarket, Kuala Nerus.

Ibu tujuh anak itu, berkata dia mendapat tahu mengenai program itu apabila diberitahu ahli J3K yang menyerahkan kupon barangan percuma kepadanya beberapa hari lalu.

“Saya terus ajak anak ke mari. Memang program ini sangat bagus, terutama orang kurang berkemampuan seperti saya," katanya yang ditemani anak, Munirah Che Alwi, 30.

Sementara itu, penasihat program, Dr N Alia Fahada W Abd Rahman, berkata satu kontena barangan antaranya minyak masak, air mineral dan pakaian bernilai lebih RM100,000 disediakan dalam program itu.

“Barangan ini bukan terhad kepada golongan miskin sebaliknya untuk mereka yang memerlukan.

“Tiada had barangan yang boleh diambil. Jika pengunjung rasa memerlukan 10 barangan boleh ambil 10 barangan di 16 booth disediakan iaitu berdasarkan keperluan mereka," katanya.

Katanya, program itu adalah sebahagian tugasan berkumpulan penuntut tahun dua Sarjanan Muda Pengurusan (Pemasaran), Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim (PPPPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Proses pengumpulan barang bermula sejak sebulan lalu dan kita sendiri tak sangka sambutan amat memberangsangkan,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 8:16pm
d