utama

Alif Satar bersih gosip

Oleh Norhayati Nordin

Sepanjang membina namanya dalam karier seni, Alif Satar, 27, dilihat bersih daripada sebarang cerita sensasi.

Sejak muncul dalam program realiti One In A Million (OIAM) ketika berusia 16 tahun hinggalah berstatus suami dan bapa kepada dua anak, Alif ‘bersih’ gosip serta meniti populariti dengan bersandarkan bakat.

Mengetengahkan bakat sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara, kini dia mampu tersenyum puas.

Tempoh 11 tahun dilalui Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar dalam memperjuangkan bakat dan nasibnya berjaya dilalui dengan lancar walaupun berliku.

Mengulas mengenai momentum perjalanan kariernya yang kini dijulang populariti, Alif berkata, inilah berkat tidak jemu berusaha.

“Saya menceburi seni kerana minat dengan impian ingin mengetengahkan bakat yang ada dalam diri.

“Selama 11 tahun saya tidak jemu berusaha dan hasilnya dalam dua tahun ini saya berjaya berada pada tahap sekarang.

“Dari tahun lalu hingga kini, saya berasa puas dan gembira kerana apa yang sudah diusaha membuahkan hasil,” katanya.

Alif berkata, di atas kurniaan rezeki itu, dia sedar ia juga berkait rapat dengan berkat doa ibu bapa, isteri dan keluarga.

Justeru, tahun lalu dengan limpahan rezeki diperoleh, Alif ke Makkah mengerjakan umrah buat kali pertama bersama isteri tercinta, Sha Dila Halid.

Namun, kali ini Alif yang mendapat peluang kedua menjadi tetamu Allah berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya.

Alif bersama bapa, Mohamed Satar dan ibunya, Nor Hafiza selamat berlepas mengerjakan umrah Khamis lalu dan akan pulang ke tanah air pada 5 Disember ini.

“Jika tahun lalu saya teruja kerana dapat melakukan umrah bersama isteri yang ketika itu sarat mengandung anak kedua kami.

“Kali ini pula, saya terharu kerana diberi peluang oleh Allah mengerjakan umrah bersama ibu bapa. Semoga umrah saya dan keluarga mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Menurut Alif, ibu bapa, isteri dan anak-anak adalah tulang belakang yang menjadi penyemarak semangat buat dirinya.

“Sebagai ketua keluarga, saya perlu bekerja kuat untuk membahagiakan keluarga. Saya gembira dapat membalas jasa ibu bapa.

“Mendapat peluang mengerjakan umrah bersama ibu bapa adalah impian saya. Alhamdulillah, ia dimakbulkan Allah,” katanya.

Walaupun jadual kerjanya agak padat, masa bersama keluarga tetap menjadi keutamaan Alif.

Serasi kerja dengan Nana

Walaupun tidak memilih heroin untuk bergandingan dengannya dalam lakonan, hingga kini peminat amat menyukai gandingan Alif bersama penyanyi, Siti Nordiana atau Nana.

Impak ditinggalkan drama lakonan mereka Dia Semanis Honey lakonan mereka begitu meninggalkan kesan di hati peminat.

Alif berkata, memang tidak dinafikan ramai peminat suka jika dia berlakon bersama Nana.

“Kami sangat profesional ketika bekerja kerana kami juga bersahabat baik. Ditambah, Nana pun memang berbakat, cuma saya tidak sangka impak lakonan kami dalam drama itu masih diperkatakan hingga kini,” katanya.

Alif dijangka berganding dengan Nana lagi menerusi drama Klik! Pengantin Musim Salju tidak lama lagi.

Berkongsi mengenai karier nyanyiannya, Alif kini muncul dengan single Sesungguhnya Aku hasil ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong.

Single baru itu juga dipilih menjadi lagu tema drama Red Velvet yang dibintangi Alif bersama Neelofa sebagai pelakon utama.

Apapun, Alif berkata istimewanya single Sesungguhnya Aku ialah impian dia mahu bekerjasama dengan Faizal akhirnya jadi kenyataan.

“Sudah bertahun lamanya saya menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan Faizal, tetapi tiada rezeki.

“Alhamdulillah, tahun ini Allah memakbulkannya menerusi single Sesungguhnya Aku,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 4:26am
d