utama

Kejamnya ibu...

Oleh Zulfa Mohamad

KESAN lebam di seluruh anggota badan bayi lelaki berusia setahun membongkar rahsia dia menjadi mangsa dera ibu sendiri.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang 22 November lalu di rumah keluarga mangsa di Lahar Kepar, Kepala Batas.

Mangsa yang koma pada mulanya dikatakan terjatuh sebelum dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) pada 4.50 petang.

Bagaimanapun pada 9.20 malam, doktor HKB memaklumkan kepada polis kerana mengesyaki bayi berkenaan menjadi mangsa dera.

Mangsa dipercayai didera ibunya warga Indonesia berusia 26 tahun ketika suaminya tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, doktor mengesyaki mangsa didera berdasarkan kesan lebam pada dahi, pipi kanan selain seluruh anggota badan.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan ibu mangsa, wanita berkenaan mendakwa kesan lebam di dahi anaknya itu akibat terhantuk ketika bermain.

"Bagaimanapun, berdasarkan keterangan doktor HKB, kes mangsa lebih menjurus kepada mangsa dera kerana kesan lebam teruk pada dada, kaki kiri dan mata kiri selain tiada tindak balas fizikal.

"Mangsa turut disyaki mengalami pendarahan otak dipercayai akibat hentakan benda tumpul," katanya.

Mangsa yang dalam keadaan koma dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Noorzainy berkata, jiran mangsa mendakwa terdengar bunyi pukulan ketika bapa mangsa keluar bekerja.

"Ibu mangsa berpura-pura menyayangi mangsa ketika suaminya berada di rumah dan memukul mangsa sebaik suaminya keluar.

"Malah jiran pernah melihat mangsa diletakkan di dalam baby walker dan sengaja dibiarkan di luar rumah ketika hujan.

"Ibu mangsa ditahan reman 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 1:22pm
d