utama

Rogol kenalan depan orang

Oleh Muhamaad Razis Ismail

ANGGOTA tentera dipenjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan merogol kenalan berusia 18 tahun di hadapan orang lain, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhammad Bukhori Mohd Zawawi, 20, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa di hadapan orang lain di Bukit Peraksi Semerak, Pasir Puteh, pada 11 malam, 15 Oktober 2015.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.

Mahkamah menetapkan esok untuk prosiding penangguhan pelaksanaan hukuman sebelum rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 1:55pm
d