utama

Saban hari dirundung resah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rembau: “Setiap hari saya runsing memikirkan keadaan hidup. Saya begitu tertekan dan tidak tahu mengadu masalah pada siapa,” kata bekas pemandu lori, Mohd Faizal Hamid, 39, yang menghidap penyakit Celebral Palsy dan kini lumpuh selepas terbabit kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

Mohd Faizal berkata, dia dilahirkan dalam keadaan normal sebelum ini, namun pada 2002 berdepan sakit sendi dan saraf.

“Saya membuat pemeriksaan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban dan terkejut apabila doktor mengesahkan menghidap penyakit berkenaan” katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatan ketika itu tidak serius dan dia masih bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kedai perabot di Nilai, dekat sini.

Bagaimanapun, ujian menimpanya ketika mahu menghantar barang elektronik, dia diserang sawan ketika memandu.

“Akibatnya saya kemalangan dan kejadian pada 2015 menyebabkan kesihatan bertambah buruk. Pada masa itu saya berjalan menggunakan tongkat sehingga lumpuh pada Februari lalu,” katanya selepas dikunjungi Pertubuhan Kebajikan Asnaf dan Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya di Taman Pedas Perdana, di sini, semalam.

Mohd Faizal berkata, dia kini bimbangkan nasib isterinya, Kartini Mohamed, 40, yang tidak bekerja berikutan perlu menjaga empat anak yang bersekolah.

Empat anaknya iaitu Muhammad Hafizudin, 15, Haziq Aiman, 12, dan Hamirul Hakimi, 10, manakala Rabiatul Adawiyah, 9, pula dilahirkan cacat fizikal.

“Buat masa ini kami bergantung bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mohd Faizal mengharapkan menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berikutan ketika kemalangan dia bekerja di kedai perabot terbabit.

Sementara itu, Setiausaha PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya tampil menyerahkan sumbangan barang dapur dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga itu.

Katanya, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB milik Mohd Faizal bernombor 7023356045.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 6:14am
d