utama

Celik IT

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Tengkawang di sini nyata melegakan penduduk setempat yang tidak perlu menempuh perjalanan sehingga hampir 30 kilometer (km) untuk ke bandar jika mahu menggunakan kemudahan Internet.

PI1M di kampung berkenaan yang menyediakan kemudahan Internet percuma mula dibuka kepada penduduk setempat yang kebanyakannya menggunakan kemudahan terbabit untuk melakukan urusan perbankan secara dalam talian, pembayaran bil dan pencarian maklumat.

Bagi Rohani Mohamed dari Kampung Tengkawang, kemudahan itu amat perlu pada zaman sekarang berikutan banyak urusan seperti membayar bil, mengemas kini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan kemudahan pembelajaran boleh dilakukan di pusat berkenaan.

“Sebarang urusan yang memerlukan penggunaan Internet kini tidak perlu dilakukan di Bandar Kuala Berang, yang perjalanannya 28km pergi dan balik berikutan kampung kami sudah mempunyai kemudahan PI1M.

“Menerusi kemudahan ini, penduduk dapat menjimatkan kos bahan api terutama untuk ke bandar bagi melakukan urusan berkaitan kerana jarak 28km bukannya dekat selain dapat menjimatkan masa untuk melakukan urusan.

“Kemudahan Internet amat penting kerana kebanyakan urusan kini memerlukan capaian jalur lebar selain pusat seperti ini juga memudahkan pelajar membuat tugasan atau mencari bahan untuk persekolahan mereka,” katanya.

Katanya, walaupun tinggal jauh di luar bandar, mereka bangga kerana mempunyai kemudahan setanding penduduk di bandar.

Pengurus PI1M Kampung Tengkawang Nur Qamariyyah Mohd Nawai berkata, setiap hari lebih 20 pelajar menggunakan PI1M Kampung Tengkawang.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 6:17am
d