utama

Lan akui kecil hati, tawar hati

Oleh Rudy Imran Shamsudin

VOKALIS Kristal, Mohd Razlan Mohamed Yusof atau Lan, 32, tawar hati untuk meneruskan perjuangannya bersama kumpulan yang dianggotai hampir 18 tahun.

Lan yang ditemui sebaik selesai konsert minggu kelima program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4), di Dewan Sri Putra, malam tadi, menjawab segala dakwaan dibuat pemain gitar Kristal, Rody yang dimuat naik di instagram miliknya sebelum ini menyebabkan peminat menyedari kumpulan yang ditubuhkan Datuk Awie itu berdepan dengan krisis dalaman.

Rody atau nama sebenarnya Muhamad Rodi Baharudin mendakwa Lan banyak membuat keputusan tanpa berbincang dengan anggota kumpulan Kristal lain termasuklah apabila menyertai GV4 dan membuat mereka seperti tunggul.

Disebabkan itu Rody berkata Kristal mahu merehatkan Lan dan mahu buat uji bakat mencari penyanyi baru.

Lan berkata, sejak penubuhan Kristal lagi banyak keputusan yang dilakukan tidak pernah dibincangkan dengan dirinya terlebih dulu termasuklah soal kemasukan anggota baru.

"Sebelum ini pun anggota lain termasuk Rody juga turut terbabit dengan persembahan pentas mahupun menjadi pemuzik pengiring untuk program TV dan tidak membabitkan diri saya. Malah pembabitan mereka itu tidak dimaklumkan kepada saya.

"Bagaimanapun saya tidak pernah membesar-besarkan perkara itu, kerana menganggap ia adalah rezeki yang ditetapkan.

“Begitu juga apabila Rody menghasilkan album Melodi Selawat tidak dimaklumkan kepada saya. Tapi tetap membantu menjual album terbabit apabila Rody minta tolong, tanpa ada rasa berat hati melakukannya dengan niat membantu kawan dan berbangga dengan usahanya," katanya.

Kata Lan, apa juga keputusan yang mahu diambil Kristal, dia akur memandangkan dia tidak punya hak dalam kumpulan itu.

"Asal Kristal ditubuhkan bapa Rody. Tambah pula sekarang kontrak kami dengan syarikat rakaman MVM berakhir 30 Julai lalu dan kami tidak terikat dengan sebarang kontrak,”

katanya.

Mengenai perancangan menghasilkan album solo sebagaimana kenyataannya sebelum ini, Lan akui berkata begitu sebagai satu perancangan apabila ditanya apa yang mahu dilakukan selepas GV4.

"Ia hanyalah perancangan projek khas seperti mana Rody menghasilkan album Melodi Selawat. Tapi tidak bermakna saya tidak mahu lagi bersama kristal.

"Bagaimanapun dengan situasi yang timbul, jujur saya kecil hati dan tawar hati," katanya.

Tegas Lan, kenyataan diberikan ini adalah yang pertama dan terakhir. Selepas ini dia tidak mahu lagi memberi kenyataan berkaitan isu dalaman yang cuba ditimbulkan.

"Selepas ini kalau ada kenyataan balas yang memerlukan saya menjawab, saya tidak mahu lagi bercakap mengenainya,” katanya.

Berita berkaitan:

'Tunggu Ahad ini, saya jelaskan'

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 12:58pm
d