utama

'Hanya usikan nakal'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba saja nama pelakon Nadia Brian dikaitkan dengan bekas suami seorang pelakon wanita.

Malah timbul dakwaan Nadia dan lelaki yang juga ahli perniagaan itu pernah keluar bersama selain dikatakan bakal berkahwin.

Enggan cepat melatah, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi selesa membiarkan kontroversi itu berlalu pergi ibarat angin. Malah, Nadia menganggap ia resam anak seni.

“Saya terkejut dengan cerita ini tetapi sedar anak seni terdedah dengan gosip dan kontroversi. Apa yang penting keluarga tahu semuanya.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, cerita itu hanya gosip dan ia tidak benar sama sekali. Lagipun, saya belum terfikir soal kahwin kerana kerjaya masih menjadi keutamaan,” katanya.

Nadia yang mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis mengakui kontroversi yang timbul sedikit sebanyak mengganggu emosi.

Bagaimanapun, dia perlu bijak mengawal keadaan agar tidak memberi kesan terhadap diri dan kerjaya.

“Semestinya gosip baik atau buruk, kedua-duanya membuatkan emosi saya terganggu. Apa yang pasti, setiap yang berlaku saya jadikan pengajaran dan pengalaman hidup. Malah, ia menjadikan saya lebih matang dalam kerjaya.

“Saya jenis malas nak ambil kisah jika perkara yang diperkatakan tidak benar sama sekali. Asal saja ia tidak menjatuhkan dan mengaibkan maruah keluarga, saya hanya menganggap ia sebagai usikan nakal,” katanya.

Pada masa sama, Nadia yang juga pelakon drama Dendam Aurora menafikan kontroversi itu rekaannya untuk menarik perhatian peminat terhadap dirinya.

“Tidak sama sekali. Saya tidak tahu- menahu semua yang berlaku. Apabila ditanya, baru saya tahu dan sangat terkejut.

“Untuk apa saya cipta kontroversi yang akhirnya boleh memakan diri sendiri. Saya masih waras untuk berfikir mana baik dan buruk,” katanya.

Jadi diri sendiri

Tidak cukup dengan itu, Nadia juga antara pelakon yang sering mendapat perhatian kerana imej seksi.

Malah, Nadia yang juga pelakon drama Dekatkan Jarak Kita yang kini bersiaran di TV3 sudah beberapa kali terpalit isu ini.

“Saya hanya jadi diri sendiri. Seksi atau tidak terpulang kepada orang yang melihat. Saya okey saja. Malah, keluarga lebih tahu dan mereka sentiasa menyokong.

“Seperti isu yang timbul ketika percutian ke Pulau Perhentian baru-baru ini, bagi saya ia tidaklah terlalu seksi. Gambar diambil ketika saya bersantai di kawasan pantai.

“Saya bercuti berdua dengan ibu dan video berkenaan dirakam oleh ibu. Saya bukan bercuti dengan mana-mana lelaki seperti yang didakwa netizen,” katanya.

Meski dikecam peminat di laman Instagram miliknya, Nadia mengambil pendekatan untuk tidak membalas setiap komen.

Sebaliknya, Nadia selesa mendiamkan diri dan seboleh-bolehnya mahu dikenali kerana kerjaya dan bukan soal peribadi.

“Saya malas ambil pusing perkara sebegini. Apa yang penting saya buat hal sendiri dan tak kacau orang.

“Saya tak tertekan dengan isu remeh ini cuma kalau boleh jangan terlalu mudah melabelkan saya dengan tanggapan yang tidak baik.

“Kalau ada yang kurang selesa dengan tingkah laku saya, maafkan saya,” katanya.

Dalam pada menjawab semua isu itu, Nadia tidak terlepas daripada diganggu peminat lelaki di laman sosial.

Nadia mengakui dia banyak mendapat pelawaan daripada peminat untuk bercinta dan berkahwin.

“Saya hanya menganggap mereka sebagai peminat. Bagi saya, tidak salah jika mereka meluahkan perasaan suka kepada artis. Asal saja tidak keterlaluan. Buat masa sekarang, saya okey lagi,” katanya.

Jadi pengacara

Selain lakonan, Nadia kini berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan apabila mengendalikan program Jom Fesyen untuk siaran HyppTV.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Masa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini ternyata sangat teruja dengan peluang yang diberikan kerana menyifatkan bidang fesyen dekat dengan dirinya.

“Peluang buat program ini seperti mengubat rindu saya pada zaman belajar dulu apabila kami banyak diberi pendedahan cara untuk bekerja dalam bidang ini. Apatah lagi ia program berkaitan fesyen dan tentunya memberi saya lebih keseronokan untuk meneroka sesuatu yang saya sendiri minat.

“Saya berharap selepas ini diberikan peluang lagi menjadi hos untuk program sukan lasak atau aktiviti ‘outdoor’. Saya sukakan sesuatu yang lasak dan mencabar,” katanya.

Nadia juga ingin mencabar diri dalam bidang nyanyian dan kini mengikuti latihan vokal.

“Kalau ada rezeki, saya mahu hasilkan single. Namun, sebagai salam perkenalan saya kena nyanyi lagu orang lain dulu. Ia latihan untuk saya sebelum merakamkan lagu sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 4:39am
d