utama

Nasi tambah percuma

Oleh Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Lokasinya tersorok manakala keadaan premis pun sama saja dengan warung lain, namun tidak ramai yang tahu keistimewaan Kedai Makan Anjung Kristal di Losong yang tidak mengenakan bayaran untuk setiap nasi tambah, tidak kira sebanyak mana sekali pun.

Malah, warung yang turut dikenali sebagai kedai nasi tambah berdekatan Taman Tamadun Islam (TTI) itu menawarkan harga murah untuk setiap hidangan dan minuman.

“Saya cuma caj RM4 untuk nasi lauk ikan atau ayam dengan sayur serta RM1 saja untuk minuman.

“Paling istimewa tentu nasi tambah percuma. Ambillah seberapa banyak pun, saya tak caj,” kata pemilik kedai Mohd Zaki Salleh, 61, atau lebih mesra disapa Pok Ki.

Menurutnya, dia mula berniaga sejak 10 tahun lalu selepas mengambil keputusan berhenti menjadi nelayan.

“Mulanya saya berniaga suka-suka saja untuk buruh kontrak membuat jalan tapi lama-kelamaan kedai ini menjadi terkenal. Jadi, saya ambil keputusan terus berniaga,” kata bapa 10 anak berusia 11 hingga 33 tahun.

Menurutnya, dia mengambil keputusan memperkenalkan nasi tambah percuma sebagai amal jariah.

“Tapi tak sangka sebab itu kedai saya terkenal dan sekarang, sekitar 100 pelanggan berkunjung setiap hari,” katanya yang berniaga dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

Pelanggan tetap, Nik Muhamad Zuhairi Mohd Zainordin, 27, berkata, dia seolah-olah ketagih menjamu selera di kedai berkenaan setiap hari.

“Kedai ini dah macam kantin dan waktu rehat memang saya ke sini untuk makan bersama rakan, malah ketika cuti seperti hari ini pun saya datang.

“Istimewanya, selain murah dan dapat nasi tambah percuma, kedai ini menawarkan lauk kampung yang enak,” katanya yang bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Chabang Tiga.

Isterinya, Nursolihah Abd Wahab, 25, pula berkata, dia pertama kali singgah ke kedai berkenaan selepas diajak suaminya.

“Saya bertugas sebagai jururawat di Selangor dan baru hari ini berpeluang mencuba makanan di sini. Sebelum ini hanya dengar cerita suami saja,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 5:38am
d