utama

Mana ada sorok...[METROTV]

Oleh Michelle Gun

PELAKON Fattah Amin menafikan mempermainkan media dengan menyorok pernikahannya atas alasan permintaan dari pihak keluarga.

Berita Fattah dan pelakon Nur Fazura melangsungkan pernikahan secara tertutup di sebuah hotel di ibu kota, semalam mengejutkan ramai.

Fattah ketika ditemui di Balai Berita, hari ini menafikan bersikap pilih bulu dengan hanya mendedahkan pernikahannya kepada media tertentu.

"Setahu saya, gambar dan siaran akhbar pernikahan kami diberikan kepada semua media.

"Hal itu kena tanya pihak pengurusan kerana Universal Music yang mengeluarkan siaran akhbar kepada media," katanya.

Biarpun berkali-kali dipersoalkan alasan sebenar merahsiakan pernikahannya, Fattah cuma menjawab ia atas permintaan pihak keluarga.

"Memang kami sudah merancang untuk membuat majlis pernikahan tertutup.

"Sewaktu sidang media sebelum ini, saya sudah menjelaskan akan membuat dua resepsi berbeza untuk media, keluarga rapat dan peminat.

"Jadi saya rasa tiada isu kami enggan menjemput media," katanya.

Jelas bintang drama Coffee Prince itu lagi, pernikahannya juga mengikut prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

Dalam pada itu, Fattah berkata akan ke London untuk penggambaran program travelog dan akan mengambil kesempatan di sana untuk berbulan madu.

Fattah yang merangkul trofiBintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 3.0 ditemui selepas menerima hadiah Peugeot 408 e-THP bernilai RM150,000 tajaan Nasim Sdn Bhd di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

Fattah menerima kereta itu daripada Pengurus Besar Kanan Nasim Sdn Bhd, Yasser Awan dengan disaksikan Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Sekali lafaz

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 6:48pm
d