utama

Zizan kunci mulut

Oleh Ramlah Zainal

Namanya tidak terlepas dikaitkan dengan gosip dan kontroversi sepanjang berkecimpung dalam bidang hiburan tanah air.

Terbaru, gosip cintanya dengan pelakon jelita Mira Filzah yang hangat diperkatakan.

Namun, pelakon dan pelawak popular Zizan Razak, 33, nampaknya belum bersedia berkongsi status hubungannya dengan Mira itu.

Menurut Zizan, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi bersama media dan peminat.

“Saya tidak boleh komen sejauh mana hubungan dengan Mira seperti yang hangat digosipkan itu.

“Saya juga berasa lebih selesa bercerita soal kerjaya kerana kisah cinta sudah terlalu banyak dilaporkan media sebelum ini.

“Malah, kerjaya seni saya bertambah baik tanpa dikaitkan sebarang gosip dan kontroversi membabitkan cinta ketika ini,” katanya.

Zizan ditemui pada pratonton filem televisyen Baby Bro yang berlangsung di The Garden Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zizan berjanji tidak akan merahsiakan perkara yang baik seperti mendirikan rumah tangga daripada pihak media dan peminat nanti.

“Insya-Allah, jika sampai masanya nanti pasti saya akan berkongsi berita baik itu dengan semua.

“Saya tidak akan sorok perkara yang baik seperti perkahwinan daripada pihak media dan peminat,” katanya.

Polis Evo 2 janji lebih hebat

Kejayaan filem Polis Evo sebelum ini pastinya memberi tekanan buat Zizan untuk memberikan yang lebih baik pada sekuelnya.

Gara-gara komitmen tinggi pada filem arahan Ghaz Abu Bakar itu, Zizan turut pitam di lokasi penggambaran kerana tidak cukup rehat, baru-baru ini.

“Terus terang, saya memang kuat bekerja dan sangat fokus pada penggambaran filem ini.

“Namun, selepas pitam di lokasi, doktor dan pihak produksi membenarkan saya berehat sehari sebelum kembali ke lokasi untuk menyambung penggambaran filem itu.

“Penggambaran bermula sejak sebulan lalu membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan. Ia dijangka selesai pada Januari depan,” katanya.

Mengenai kelainan dalam filem itu, kata Zizan, jalan cerita Polis Evo 2 juga 100 peratus berbeza daripada sebelum ini.

“Jalan cerita lebih mencabar, lebih banyak babak aksi dan pertarungan. Pihak produksi juga menyewa kawasan kampung di tepi pantai dan bina perumahan khusus untuk penggambaran filem ini,” katanya.

Ditanya harapan pada filem itu, kata Zizan, pihaknya menjanjikan yang lebih hebat daripada yang pertama.

“Saya dan barisan pelakon serta kru sudah berikan yang terbaik pada Polis Evo 2 dan insya-Allah, sekuel ini mampu menarik penonton,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 4:46am
d