utama

'Saya mahu sorok'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: “Mama, pulanglah ke rumah. Kami amat merindui mama.”

Itu luahan pilu Muhammad Farish Hakimi Muhammad Farehan, 7, dan Muhammad Ferhad Ramadhan, 4, yang merayu ibu mereka pulang selepas menghilangkan diri sejak 14 November lalu.

Ibu muda itu, Nur Fatin Nadhirah Nordin, 22, meninggalkan dua beradik berkenaan selepas keluar dari kediaman mereka di Kampung Tebuk Pulai di sini, tanpa sebarang berita sehingga ke hari ini.

Difahamkan, anak kedua daripada enam adik beradik itu kali terakhir dilihat menaiki motosikal bersama seorang lelaki pada hari berkenaan dan sempat menghubungi ibunya, Norsimah Nonchek, 46, melalui aplikasi WhatsApp.

Norsimah berkata, anaknya itu mula menunjukkan perubahan ketara selepas kematian suaminya Muhammad Farehan Sunik, 27, akibat kemalangan jalan raya pada 2015.

“Selepas arwah suaminya itu tiada, dia (Nur Fatin) berubah sama sekali termasuk bergaul dengan budak nakal di sekitar kampung ini.

“Puas saya menasihati dia supaya berubah dan menumpukan perhatian kepada keluarga namun enggan dan terus menghilangkan diri sehingga kini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, dia meminta Nur Fatin segera pulang kerana bimbang akan keselamatan dirinya dan dua anak lelaki yang amat merinduinya.

“Dia ada menghubungi saya melalui WhatsApp hujung bulan lalu dan memberitahu ingin bersembunyi di suatu tempat buat sementara waktu.

“Namun dia tidak menjelaskan lokasi dan itu perbualan terakhir kami,” katanya sebak.

Berikutan itu, Norsimah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Besar, kelmarin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Fatin boleh menghubunginya di talian 017-8774806.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan wanita berkenaan dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 5:59am
d