utama

Suami isteri kaki kelentong

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SUAMI isteri ditahan dipercayai terbabit menipu 48 jemaah umrah di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM350,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek lelaki berusia 47 tahun dan isterinya 43 tahun.

Menurutnya, pasangan itu ditahan di satu premis di Kuantan, Selasa lalu, selepas hampir lima bulan diburu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki adalah pengurus cawangan di agensi pengurusan umrah di Kuantan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki adalah pengurus cawangan di agensi pengurusan umrah di Kuantan.

“Suspek bertanggungjawab menguruskan jemaah umrah yang berdaftar dengan syarikat dia bekerja.

“Dia kemudian mengambil kesempatan dan menipu mangsa dengan memasukkan bayaran ke akaun kepunyaan syarikat milik isterinya.

“Siasatan juga mendapati syarikat yang didaftarkan atas nama isteri mempunyai nama hampir sama dengan syarikat dia bekerja.

“Ini sekali gus membuatkan orang ramai terpedaya dan memasukkan wang ke dalam akaun milik isterinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohd Wazir berkata, dalam kes terbaru suami isteri terbabit dipercayai turut memperdayakan pesara guru membabitkan kerugian lebih RM40,000, pada September lalu.

“Guru itu membuat laporan, Isnin lalu. Hasil maklumat mangsa, kami melakukan serbuan di satu premis dan menahan dua suspek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Difahamkan, suami isteri terbabit sudah direman bagi membantu siasatan dan dijangka dituduh, Isnin ini.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 10:54am
d