utama

Abe Din kongsi rezeki banjir

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

DUA ratus penunggang sekitar Pasir Mas berpeluang mengisi petrol percuma sumbangan pengusaha stesen Petronas Pengkalan Batu, Pasir Mas, Bahrudin Zakaria.

Mereka mula beratur seawal 11.30 pagi untuk mengisi petrol dan program itu selesai dalam dua jam.

Bahrudin berkata, sumbangan itu adalah yang kedua diadakan tahun ini yang bertujuan meringankan beban penduduk di sekitar Pasir Mas.

Katanya, program itu, dianjurkan sempena Kempen Kesedaran Keselamatan di Stesen Minyak peringkat negeri Kelantan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Untuk program hari ini, kita peruntukan RM1,000 dengan setiap motosikal dibenarkan mengisi petrol RM5.

“Harapan saya, ia dapat meringankan beban, terutama buat mangsa banjir sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui di stesen miliknya di Pengkalan Batu.

Hadir sama, Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun.

Pengguna, Azhar Maulud, 50, dari Kampung Kubang Panjang meluahkan rasa gembira dengan program itu.

“Dengan program ini, sekurang-kurangnya saya tidak perlu isi petrol untuk tiga hari,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 2:34pm
d