utama

'Senyum sokmo kak Azlina'

Oleh Siti Rohana Idris

PENIAGA kedai makan di Kampung Teluk Jering, Tumpat, tetap meneruskan perniagaan seperti biasa biarpun premisnya digenangi air sejak Selasa lalu.

Biarpun kini penduduk kampung sudah berpindah ke PPS, Azlina Abdullah, 45, masih tenang melayan pelanggan di kedai makannya.

Malah, pelanggan tetap memenuhi kedainya biarpun perlu menikmati makanan dengan kaki berendam dalam air seperti berada dalam ‘kedai kopi terapung’.

Azlina berkata, dia enggan menutup kedainya itu kerana mahu membantu penduduk setempat mendapat bekalan makanan ketika musim banjir.

Katanya, kedainya mula beroperasi awal pagi dan ditutup kira-kira 12 tengah malam bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.

“Ada juga penduduk yang tidak berpindah. Terputus bekalan makanan. Mereka akan makan di kedai saya sebelum mencari bekalan di kedai runcit.

“Alhamdulillah, biarpun kedai banjir, pelanggan tetap ramai,” katanya ketika ditemui.

Ditanya mengenai kegusarannya mengenai kehadiran ular atau lipan, Azlina mengakui agak bimbang dengan haiwan berbiasa itu terutama ketika musim tengkujuh.

“Belum ada dan saya sentiasa membuat pemeriksaan di sekitar premis untuk memastikan keadaan selamat kepada keluarga dan pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 3:25pm
d