utama

'Senyum la sikit bang...'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PESILAT negara, Mohd Al Jufferi Jamari, menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan, Nurul Farhana Abd Majid, hari ini.

Majlis resepsi yang berlangsung di Dewan Seri Semai Bakti, FELDA, Kuantan, dihadiri kira-kira 1,500 tetamu, termasuk beberapa tetamu kenamaan.

Mohd Al Jufferi, 25, dan Nurul Farhana, 27, mengenakan busana hijau dirai dalam suasana meriah dengan diselit persembahan 17 perguruan persilatan seluruh Pahang.

Dia yang juga juara dunia dan olahragawan kebangsaan 2015 bernikah di Johor Bahru, pada 3 November lalu.

Menurut anak kelahiran Kuantan itu, rumah tangga yang dibina bersama suri hatinya akan dijadikan pemangkin untuk dia mencapai kejayaan lebih besar.

Selepas ini saya akan fokus pada latihan untuk mempersiapkan diri ke Sukan Asia di Palembang pada Ogos tahun depan.

“Bulan madu kami terpaksa dilupakan seketika kerana saya perlu mengikuti beberapa latihan intensif selain kejohanan kecil sebelum ke Sukan Asia,” katanya.

Pemenang empat pingat emas kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu berkata, dia bersyukur kerana isterinya memahami kesibukan dan tuntutan latihannya.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 3:39pm
d