utama

'Termenung ni biasa dah di Tumpat' [METROTV]

Oleh Asrizal Aris & Shahrul Redzuan

 

MESKIPUN terkenal dengan gelaran banjir termenung, penduduk di kawasan Pengkalan Kubor, Tumpat, bagaikan tidak terkesan.

Malah, mereka menganggap ia sebagai acara tahunan dan pertukaran ‘musim’.

Hampir semua rumah di kawasan Kampung Bendang Yong dan Kampung Simpangan seluas 49 kilometer persegi mempunyai bot sendiri.

Ini untuk memudahkan mereka bergerak ke destinasi yang dituju dan rata-rata antara mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Saiful Lizam Ibrahim, 37, berkata, penduduk kampung sudah biasa dengan keadaan itu dan masih boleh berada di rumah meskipun dinaiki air.

Katanya yang bekerja sendiri, situasi banjir termenung bukan lagi perkara perlu ditangisi, namun dijadikan sebagai kebiasaan kerana setiap tahun akan berlaku banjir yang lambat surut di kawasan Tumpat.

“Kalau di luar negara, ada tiga hingga empat musim. Tapi di Tumpat, kita anggap ada pertukaran musim baru iaitu musim jalan darat bertukar menjadi jalan air.

“Setiap tahun ‘musim’ itu berlaku, jadi kita buat bot untuk diletakkan di rumah supaya boleh digunakan apabila tiba musim ‘rumah dalam air’ tiba,” katanya.

Penduduk, Muhammad Loman, 64, berkata, banjir termenung di kawasan itu juga menjadi tumpuan remaja dan kanak-kanak untuk ‘beriadah’.

“Kanak-kanak dan remaja sudah biasa bermain air apabila banjir. Kadangkala ada yang bermain rakit dan ada juga yang bermandi manda bagaikan pesta air.

“Namun mereka dipantau oleh ibu bapa dan keselamatan tetap dijaga supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, segelintir penduduk yang tidak berpindah ke PPS bagi mengelak kecurian dan bukannya tidak mahu mendengar arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Raja Arisansah Seni Raja Ismail, berkata masyarakat di kawasan itu sudah biasa dengan keadaan itu.

Katanya, pihak bomba dan penduduk bagaikan ‘keluarga’ kerana saling membantu untuk menjalankan rutin harian mereka.

“Pihak bomba menyediakan dua lori yang bersilih ganti menghantar penduduk kampung yang terkepung dengan banjir dari kampung ke jalan besar.

“Kemudhan itu untuk mereka membeli keperluan harian dan turut menghantar ke masjid untuk solat.

“Selain itu bomba juga memantau dan membuat tinjauan dengan menggunakan bot untuk membantu penduduk jika terdapat kecemasan di rumah yang terjejas banjir,” katanya ketika membuat tinjauan di kawasan terjejas di Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Menurutnya, terdapat lapan PPS di buka di Tumpat dan enam daripadanya masih penuh berikutan banjir termenung.

Katanya, daerah lain menunjukkan penurunan jumlah mangsa selepas kebanyakan mangsa sudah pulang ke rumah.

Banjir termenung atau banjir lambat surut di Tumpat difahamkan akan berterusan antara sembilan hari sehingga dua minggu.

Ini berikutan air pasang besar yang dijangka berlaku pada malam ini hingga Isnin.

Keadaan itu juga disebabkan paras air sungai di kawasan itu masih melebihi tahap bahaya biarpun hujan sudah berhenti sejak pagi Sabtu.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 12:06am
d