utama

Banjir pertama bersama [METROTV]

Oleh Asrizal Aris dan Shahrul Redzuan

 

PENGALAMAN baru buat remaja 15 tahun apabila menghadapi musim banjir tahun ini bersama suami dan bayi mereka.

Suhaila Awe, suami dan bayi mereka berusia dua bulan ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kubang Kual, Rantau Panjang.

Suhaila mengakui kekok pada awalnya untuk menguruskan bayinya di ‘kawasan asing’.

Namun, katanya, gembira apabila ramai ibu di pusat berkenaan membantunya untuk menguruskan anak kecil.

Suaminya, Muhd Saiful Abdul Rahman, 25, berkata pengalaman pertama menghadapi musibah banjir bersama isteri dan anak sulung, Muhammad Syamel, pasti menjadi kenangan.

“Setiap tahun banjir. Tapi, bagi saya kali ini suasananya sangat berbeza kerana saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan keselesaan isteri dan bayi kami.

“Ada hikmah di sebalik kejadian. Banjir ini menyatukan penduduk daripada lima kampung untuk bergotong-royong selain saling membantu buat mereka yang memerlukan.

“Ini pengalaman baru buat isteri saya yang masih muda untuk menjaga anak dalam situasi begini. Namun, lebih bermakna ramai ibu mengambil berat terhadap kami,” katanya.

Menurutnya yang bernikah tahun lalu, dia bersyukur ditempatkan di PPS yang selesa, cukup makanan dan dimasak secara bergotong royong.

Berbeza dengan Samsudin Mamat, 57, yang biasa menghadapi situasi banjir di PPS bersama dengan anak kecil.

Bapa 12 anak itu berkata, kali ini giliran anak bongsunya, Nursyiffa Izza, lapan bulan, melalui pengalaman tinggal di PPS selepas rumah mereka dinaiki air 1.3 meter, pada 27 November lalu.

“Saya sudah biasa hadapi begini dengan anak yang masih kecil. Tiada masalah kerana penempatan selesa dan kami diberi kebebasan memilih bilik darjah untuk dijadikan bilik kami dan tinggal bersama siapa.

“Oleh itu, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil kebiasaannya ditempatkan sekali supaya mudah kami menguruskan anak. Tambahan pula, bagi ibu yang mahu menyusukan anak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Kubang Kual, Nordin Abdullah berkata, lebih 500 mangsa banjir jajahan Pasir Mas ditempatkan di PPS SK Kubang Kual.

“Kami memberi kebebasan kepada semua mangsa untuk memilih bilik darjah bagi keselesaan mereka.

“Biarpun bencana berlaku setiap tahun, suasana di PPS ini berbeza kerana berlaku pertambahan mukim dan jumlah mangsa setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, selain menyediakan makanan yang cukup, pihaknya juga perlu memastikan keselamatan dan keperluan buat warga emas dan mangsa yang sakit.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 1:39am
d