utama

Lana nafi bawa mulut

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kecoh minggu lalu apabila beberapa selebriti tempatan dan Singapura yang menjayakan bazar di seberang tambak bercerita mengenai dua artis wanita bergaduh besar sehingga menimbulkan konflik di antara mereka.

Beberapa artis juga menaikkan status memberikan gambaran artis yang berselisih faham itu dengan memberikan perincian seorang penyanyi wanita popular 1980-an dan seorang pelakon yang bersuamikan lelaki kulit putih.

Gambaran yang diberikan itu membuatkan ramai meneka beberapa nama termasuklah Lana Nodin, penyanyi Ifa Raziah dan bekas anggota kumpulan Elite, Azza.

Begitupun, beberapa artis yang turut menjayakan bazar itu mendedahkan dua individu yang bertelagah itu sebenarnya Lana dan Norshila Amin. Bagi mendapatkan penjelasan sejauh mana kebenaran dakwaan itu, Selebriti menghubungi Lana.

Kata Lana, isu bermula sewaktu dia dan Norshila sama-sama terbabit dalam bazar selebriti yang berlangsung di Brunei sebelum ini.

Dakwa pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Gol & Gincu itu, Norshila menimbulkan masalah dengan penganjur membabitkan wang.

“Saya tidak mahu campur tangan walaupun bersimpati kerana ia mengaitkan pihak penganjur. Lagipun, penganjur banyak membantu saya dan selebriti lain yang sebelum ini terlebih dulu berniaga di sana.

“Bagaimanapun, saya tidak faham waktu itu dia sudah menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap saya. Sesekali dia menyindir dan turut menjeling,” katanya.

Kata Lana, mereka yang mengenali dirinya sudah tentu tahu dia tidak akan berkompromi dengan mereka menunjukkan sikap negatif terhadap dirinya. Setiap sindiran harus dibalas.

Cuma masalah yang ditimbulkan Norshila dengan pihak penganjur, dia hanya mendengar tetapi tidak berminat campur tangan.

“Saya akui hubungan saya dan Norshila di Brunei tidak berapa baik. Kemudian kami bertemu lagi di bazar selebriti di Singapura.

“Pada peringkat awal saya lihat gerainya dan gerai saya ada dalam satu baris tetapi kedudukannya agak jauh. Saya berasa lega kerana kalau boleh, apabila sedang bekerja dan berniaga, saya tidak mahu timbul sebarang masalah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Lana, dia terkejut apabila melihat Norshila berniaga berhampiran dengan gerainya.

“Saya cuba tidak mempedulikan dia dan pada awalnya keadaan masih terkawal. Namun, dia mula bertindak melampau apabila saya meninggalkan gerai. Setiap kali lalu di hadapan gerai saya, dia akan menyumpah dan ada beberapa kali juga dia menendang troli yang ada berhampiran gerai saya.

“Mungkin dia ingatkan yang menjaga gerai saya itu adalah pekerja dan dia tidak tahu sebenarnya gadis terbabit itu adalah anak saudara saya. Sudah tentu apabila dia bertindak demikian, anak buah saya akan mengadu dan menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Lana, bagi mengelakkan konflik, dia sekadar bersabar meskipun panas hati dengan sikap Norshila.

“Pada hari terakhir, saya sudah tidak boleh bersabar apabila dia masih menyindir saya. Bagi mengelakkan rasa kurang selesa orang sekeliling, saya menariknya ke belakang gerai untuk bertanya sendiri, apa yang dia tidak puas hati sehingga bertindak sedemikian rupa.

“Apatah lagi setiap kali lalu di hadapan gerai, dia menyumpah seranah dan menendang troli. Sedangkan dia tidak tahu troli terbabit bukan saya punya sebaliknya milik orang lain. Sudah tentu pemilik troli itu rasa kurang senang,” kata Lana.

Dalam pertemuan itu, kata Lana, Shila menjelaskan rasa tidak puas hatinya terhadap Lana yang kononnya menjaja cerita dan membabitkannya dengan penipuan duit beberapa selebriti yang menyertai bazar di Brunei sehingga penganjur turut terkena tempias.

“Saya jelaskan kepadanya bahawa bukan saya yang sebarkan cerita itu sebaliknya semua selebriti yang terbabit dalam bazar di Brunei tahu apa yang berlaku. Malah mereka bercerita sesama sendiri. Saya ada bukti untuk menyangkal tuduhan itu termasuklah perbualan bersama penganjur yang mengadu masalah yang ditimbulkannya.

“Dia juga mengugut mahu menyaman saya. Terus terang, saya tak gentar kerana ada bukti. Malah, penganjur di Brunei bersedia untuk tampil sebagai saksi bagi menjelaskan masalah yang ditimbulkan Norshila,” katanya.

Setakat ini difahamkan, Norshila akan mengadakan sidang media bagi memperjelaskan situasi antaranya dan Lana.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 8:23am
d