utama

Zera giat timba pengalaman

Oleh Norhayati Nordin

Ketika tempias cinta lokasi menjadi platform bertemu jodoh segelintir selebriti tanah air, pelakon baru, Zera Hariz, 22, juga pernah mendapat restu peminat untuk bercinta dengan pelakon Azrel Ismail, 34.

Semuanya gara-gara lakonan mantap Zera atau Nur Nazira Harizan, yang berpasangan dengan Azrel dalam drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin arahan Nizam Zakaria buat pengisian Akasia TV3.

Mengulas mengenainya, Zera ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Selebriti, baru-baru ini mengakui memang ada peminat yang mahu dia dan Azrel benar-benar bercinta kerana dikatakan sepadan.

“Apapun, saya masih tahu membezakan antara lakonan dan kehidupan realiti. Malahan, saya pun muda dan belum habis belajar lagi.

“Maka bagi saya, lebih baik dapatkan dulu Diploma Pengajian Teater di Akademi Seni Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), yang kini dalam semester akhir dan kemudian fokus pula pada karier,” katanya.

Biarpun menghargai sokongan peminat kepadanya sebagai pelakon baru termasuk dengan restu percintaan diberi itu, Zera berkata, dia sebenarnya belum sedia bercinta.

“Kami memang berkawan baik. Tetapi, setakat berkawan sajalah kerana saya pun anggap dia sebagai abang dengan sikapnya yang matang.

“Malah, sepanjang berlakon sama, Azrel juga banyak membantu saya di lokasi penggambaran dan kami suka berbincang untuk watak masing-masing.

“Saya selesa bekerja dengannya walaupun baru dua drama kami berlakon bersama iaitu Lelaki Macam Dia dan Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin,” katanya.

Zera yang belum mempunyai teman lelaki berkata, usianya terlalu mentah untuk bercinta. Apatah lagi, tidak mudah bertemu cinta yang ikhlas dan lelaki itu boleh menerima dia seadanya.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik ini, dia juga mahu lebih dulu berbakti dan membalas jasa ibu bapa dan keluarga.

“Saya tidak dilahir dalam keluarga senang. Ibu bapa saya banyak berkorban untuk membesarkan kami dua beradik. Maka, saya mahu gembirakan mereka dulu.

“Lagipun, saya mahu membalas keyakinan ibu yang sentiasa percaya pada bakat saya. Ibu tidak pernah menghalang minat saya yang cenderung dalam seni sejak kecil,” katanya.

Zera yang aktif dalam pementasan teater sejak kanak-kanak berkata, dia sangat meminati bidang lakonan dan nyanyian. Malah, katanya, dia gembira keluarga tidak pernah menghalang.

Mengulas juga soal persaingan sengit sesama bintang baru dan lama untuk sentiasa mendapat peluang berlakon, Zera berkata, perkara itu resam dalam apa saja pekerjaan.

“Bagi saya, apa yang penting, perlu bijak mengatur strategi dan memandangkan masih baru, saya harus pergiat menimba pengalaman.

“Masih banyak watak yang belum saya lakonkan dan yang pasti, saya tidak boleh bersikap terlalu memilih,” katanya.

Zera berkata, biarpun akan selalu disogok watak sama, dia perlu bersedia dan kreatif mempelbagaikan acuan dalam lakonannya.

Kecewa The Band berkubur

Pernah menyertai program pencarian bakat The Band pada 2014, Zera mengakui dia meletak harapan tinggi ketika itu.

Malahan, dia berjaya muncul juara wanita bersama lima finalis lain yang digabung dalam satu kumpulan iaitu Heela Monica, Mustika, Winnie Ooi, Ayu dan Jen dengan taruhan lagu Main Hati.

“Saya cuba nasib sertai The Band ketika itu kerana sangat meminati bidang seni suara dan asalnya, ingin jadi penyanyi. Maklumlah, usia pun ketika itu baru 19 tahun dan darah masih meluap-luap untuk cuba benda baru yang saya minat. Jadi, saya memang letak harapan tinggi.

“Saya fikir selepas The Band berakhir maka karier nyanyian akan bersinar seperti dijanjikan. Sayangnya, berkubur begitu saja.

“Justeru, bagi merawat kecewa di hati, saya buat keputusan belajar dan ambil pengajian teater kerana saya juga minat berlakon teater,” katanya.

Mengharapkan sinar 2018, Zera berkata, dia sebenarnya mahu lebih aktif berlakon tahun depan termasuk merancang semula karier nyanyian.

“Minat saya terhadap nyanyian tidak pernah pudar. Ini kerana, saya cuma perlu bijak membuat percaturan yang tepat,” katanya.

Zera berkata, jika mahu serius dalam nyanyian, dia harus bijak membuat pemilihan single yang bagus, kena dengan vokal dan sedap didengar.

Apapun, ujarnya, dia akan pastikan karier lakonan dan nyanyian bergerak seiring kerana tidak mahu yang dikejar tak dapat dan dikendong pula berciciran.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 8:27am
d