utama

Mencari bakat sukan orang buta

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Merevolusikan orang kurang upaya (OKU) tempatan bukan satu cabaran yang mudah kerana revolusi perlu digerakkan golongan itu sendiri sebelum mengubah perspektif umum.

Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Mohammed Nazari Othman berkata, perubahan yang ingin dicapai itu sejajar dengan objektif penubuhan SBM yang mempunyai 12 cawangan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Mohammed Nazari berkata, antara program yang dilakukan termasuk pertandingan sukan dalaman SBM peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka (MIBC), di sini.

Pertandingan selama tiga hari bermula kelmarin itu, menghimpunkan 80 peserta dari seluruh negara yang mengambil bahagian dalam acara boling, catur dan dam.

“Pada pertandingan ini, kita mencari bakat dan potensi baru dalam diri ahli selain memupuk perpaduan dalam kalangan ahli. Selain itu, dari sini jugalah lahirnya pemain dam, catur dan boling yang mewakili negara pada temasya sukan para tertentu,” katanya ketika ditemui di MIBC, semalam.

Beliau berkata, pertandingan itu membabitkan ahli berusia 18 hingga 60 tahun yang mempunyai pelbagai kategori cacat penglihatan.

Beliau berkata, mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat lebih 33,000 orang cacat penglihatan di negara ini.

“Bagaimanapun, hanya 6,000 yang mendaftar sebagai ahli dengan SBM, mungkin kerana keahlian kita hanya membabitkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

“Begitupun, saya yakin ramai lagi orang cacat penglihatan kerana mungkin ada individu yang baru dikategorikan bermasalah cacat penglihatan akibat masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak persatuan orang cacat di seluruh negara, namun SBM satu-satunya persatuan orang cacat penglihatan yang diuruskan individu bermasalah penglihatan.

Disiarkan pada: December 3, 2017 @ 8:50am
d