utama

Raja ikan musim banjir [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

 SUDAH seperti menjadi tradisi apabila tiba musim banjir, kebanyakan pemuda di Kampung Bukit Jarum, Pasir Mas, akan bersaing untuk merebut gelaran 'raja ikan'.

Kawasan sungai kampung itu yang dihuni pelbagai jenis ikan, bagaikan pesta ketika musim banjir kerana pelbagai aktiviti menangkap ikan dilakukan penduduk.

Muhd Jamri Alias, 31, berkata, setiap hujung tahun, penduduk kampung itu akan berlumba-lumba menangkap ikan di sungai dengan cara memancing atau menjala.

Katanya, individu yang berjaya menangkap ikan yang sukar ditangkap dan bersaiz besar akan digelar sebagai raja ikan banjir bagi tahun terbabit.

"Kebiasaannya ketika musim banjir ikan yang muncul adalah bersaiz besar dan antara yang mudah diperoleh seperti patin, baung dan sebarau.

"Jika dapat tangkap ikan yang sukar didapati seperti haruan atau toman, orang itu dianggap hebat dan namanya akan disebut-sebut dalam kampung.

"Ikan yang diperoleh juga akan dibuat bidaan harga sekiranya mahu dijual. Harga itu mencecah sehingga RM30 hingga RM50 sekilogram," katanya ketika ditemui di Sungai Pasir Mas Kangkong.

Menurutnya, aktiviti musim banjir itu bukan sahaja menambah pendapatan pemuda di kampung berkenaan, malah mengelakkan daripada terjebak aktiviti yang tidak berfaedah.

Katanya yang memegang gelaran raja ikan setakat ini, menganggap usahanya yang berjaya menaikkan ikan toman seberat lima kilogram sebagai rezeki yang tidak disangka.

"Setakat ini ramai yang 'tabik' pada saya, kalau ada orang lain yang dapat lebih berat dan ikan yang susah dapat, dialah yang digelar raja ikan.

"Toman dan haruan antara ikan yang menjadi tumpuan kerana ikan itu mahal dan jika berjaya mendapatkannya ia adalah satu kepuasan," katanya.

Pengawal keselamatan, Zaidi Soleh, 35, berkata, aktiviti itu hanyalah sebagai suka-suka yang dicetuskan sejak dua tahun lalu dan tidak menawarkan sebarang ganjaran.

"Ia cuma persaingan sihat dan bukan judi atau aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ia juga diterapkan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

"Siapa yang dapat ikan besar akan dianggap hebat namun ia hanya di sungai kawasan Bukit Jarum," katanya.

Menurutnya, penduduk bebas untuk melakukan aktiviti memancing atau menjala, namun memancing lebih memberi kepuasan selain mampu memperoleh ikan yang sukar diperoleh.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 10:56pm
d