utama

Pening terjaga tidur

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Klang: “Sebahagian besar ahli keluarga berasa pening sebaik terjaga daripada tidur dan terkejut melihat semua kunci kenderaan hilang dengan pintu utama terbuka manakala sebelah daripada selipar milik suspek ditinggalkan dalam keadaan terbalik.”

Begitu kata Mohamad Faiezi Md Yusub@Abdullah, 25, apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Proton Saga serta motosikal Honda RS150 dianggarkan bernilai lebih RM200,000 milik keluarganya dilarikan penjenayah dalam kejadian di Taman Klang Perdana, Kapar, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku pada awal pagi ketika keluarga berkenaan tidur dan dipercayai lebih empat suspek memotong kunci mangga pintu pagar serta jeriji pintu utama untuk masuk ke dalam rumah.

Mohamad Faiezi berkata, kejadian disedari kakak iparnya yang pelik melihat pintu utama terbuka dan kehilangan ketiga-tiga kenderaan itu jam 9 pagi.

“Kakak kemudian bertanya kepada abang saya sama ada menghantar dua kenderaan berkenaan untuk dibasuh, namun dia (abang) menafikannya.

“Bagaimanapun, kami terkejut apabila melihat kesan potong pada kunci mangga. Selain itu, semua kunci termasuk Proton Saga dan dua motosikal lain yang diletakkan pada alat penyangkut turut hilang,” katanya.

Menurutnya, pada malam kejadian, terdapat sembilan ahli keluarga berada di rumah teres dua tingkat itu termasuk dia yang tidur di tingkat bawah.

“Saya yang tidur jam 11.30 malam (kelmarin) sememangnya tidak mendengar apa-apa bunyi, tetapi berasa pening apabila bangun keesokkan harinya.

“Jiran yang pulang memancing ada memberitahu semua kenderaan, masing-masing berada di pekarangan rumah dan luar rumah masih ada jam 1 pagi (semalam),” katanya yang menetap di rumah abangnya itu sejak 13 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 8:14am
d